Saya berminat tentang ethnosains dan juga gastronomi (soal amalan pemakanan) tradisional Melayu. Mengikut sejarah aliran Braudelian, semua ini sebenarnya adalah sebahagian daripada sejarah. Saya akan cuba develope isu ini sedikit demi sedikit. Saya mulakan dengan cendawan yang menjadi sayuran dan sekaligus lauk dalam amalan pemakanan masyarakat Melayu tradisional.
Sebenarnya saya tak pernah rasa cendawan truffel yang popular di Eropah itu. Kalau benar ia sangat sedap saya yakin kulat tahun atau saya panggil juga sebagai cendawan busut juga sangat sedap. Minggu lepas dekat Shah Alam ini saya jumpa cendawan ini tumbuh lepas hujan lebat. Mula ragu juga takut beracun - jadi macam cerita Nasinya Tumpah karya Fatimah Busu - tetapi setelah ada seorang lain juga mengutipnya, hilang was-was. Rasanya agak berbeza daripada cendawan tiram yang dikomersialkan itu. Cendawan ini lebih pejal dan lebih manis. Batangnya lebih panjang kerana dicabut atau dikorek dalam ke dalam tanah. Masakan yang biasa dengan cendawan ini ialah sayur air atau sayur manis ataupun digoreng garam kunyit. Masa saya kecil-kecil dahulu emak saya masak pais - digaul rempah-rempah kemudian di bungkus dengan daun pisang dan dibakar. Baunya harum dan rasanya lebih enak daripada daging ayam. Metos di sekitar cendawan ini ialah ia akan tumbuh selepas guruh kuat, kalau mencabutnya tak boleh dicungkil dengan besi. Dikatakan juga jika nak tahu beracun atau tidak ambil sedikit dan ditenyeh ke kuping bawah telinga kita; jika rasa gatal atau miang tandanya beracunlah.
Saya sangat berharap ia dapat dibiakkan secara komersial. Masa di kampung dulu saya pernah mengutip cendawan ini sebanyak dua buntil karung baja. Sporanya di bawa oleh semut atau anai-anai agak jauh di bawah tanah - lebih kurang 6 - 12 inci di dalam tanah. Oleh itu bila ia tumbuh tersebar di kawasan agak luas.
Kepada mereka yang nak rasa cendawan ini tinjau-tinjaulah gerai di tepi jalan terutama dekat dengan ladang sawit seperti jalan Sg Buluh - Batang Berjuntai. Jika bernasib baik boleh lah merasanya. Nak kenal rupanya; hampir-hampir seperti cendawan tiram tetapi warnanya putih melepak dan batangnya lebih panjang dan agak keras tetapi jangan dibuang kerana ia tetap sedap terutama jika digoreng.
Hari saya menjumpainya kerana terlalu obses dan lebih 10 tahun tak makannya, balik terus masak tak sempat nak shot gambar. Sekarang musim hujan dan guruh yang kuat, mungkin saya akan jumpa lagi truffel Malaysia ini dan harap tidak akan lupa merakamnya dahulu dan kemudian barulah saya cuba masak pais truffel Malaysia.
Sabtu, 12 Januari 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan