Memaparkan catatan dengan label Perspektif. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perspektif. Papar semua catatan

Selasa, 4 Ogos 2009

Keris vs Pisau

Saya sudah lama ingin menulis tentang simbolisme keris dan pisau ini iaitu pertentangan antara sektor feudal (dilambangkan oleh keris) dengan sektor rakyat (yang dilambangkan oleh pisau). Saya menangguhkannya agak lama kerana saya ingin menulis satu esei ilmiah tentang hal ini. Saya mempunyai perspektif yang agak berbeza daripada Dr Farish Noor yang pernah menulis tentang keris dan nilai simbolismenya lewat artikel beliau beberapa tahun dahulu.

Namun saya mahu mengambil ruang ini untuk membawa isu keris vs pisau ini kerana saya rasa sampai masanya saya memperbetulkan salah tafsir tentang simbol keris dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Antaranya, dalam mereka bentuk kulit buku jika ada isu tentang Melayu maka antara grafik atau gambar yang akan muncul ialah keris, terutama keris yang tidak disarungkan.Persatuan-persatuan dan institusi Melayu juga tidak lekang dari mengasosiasikan diri mereka dengan keris. Ini boleh dilihak dalam logo PEKEMBAR (teka apa nama barunya?), logo di salah sebuah syarikat teksi di Shah Alam malah logo UiTM sendiri ada keris tak bersarung yang bersilang. Keris semacam telah disinonimkan dengan orang Melayu. Benarkah hal ini?.

I
Dalam masyarakat Melayu tradisional pra moden berdasarkan pengalaman saya (tahun-tahun 60-an), keris hanyalah sebagai alat kebesaran, pakaian ataupun aksesori bagi golongan bangsawan sahaja. Rakyat kebanyakan jarang-jarang menyimpan apatah lagi menggunakan keris. Jika adapun keris menjadi satu peralatan dalam perubatan Melayu kerana dianggap mempunyai kuasa magis. Membaca asal usul keris dan hal-hal seputar keris terutama yang ditulis oleh sarjana kolonial Barat membuat saya agak skeptik dengan kedudukan keris dalam masyarakat kebanyakan. Walaupun jurnal JMBRAS tentang keris tulisan A.H. Hill, Wooley dan lain-lain mungkin bersifat etnosentrik namun masih ada kebenaran tentang keris yang mana nilai dan fungsinya telah dilebih-lebihkan hinggalah sekarang.

II
Kepada rakyat kebanyakan hatta hingga sekarang pisau lebih akrab dengan mereka. Jika ada sesuatu majlis kenduri, kecil atau besar yang melibatkan binatang seperti lembu atau kambing dibantai, maka kita akan melihat dengan jelas keakraban pisau dalam masyarakat Melayu. Dalam kerja-kerja kenduri, kaum lelaki akan mengambil tanggungjawab menyembelih, melapah dan menyiang daging. Mereka akan datang dengan membawa pisau-pisau yang cantik berukir tetapi masih mempunyai nilai gunaan. Sebelum kerja dilakukan, pengisian awalnya ialah tayang menayang, bertukar-tukar lihat melihat dan rasa merasa pisau-pisau yang dibawa. Satu keaiban kepada orang lelaki yang datang ke majlis seperti ini tidak membawa bersamanya pisau. Jika ada yang datang tangan kosong akan adalah gelar-mengelar seperti, datang bawa batu pengasah saja ke! (batu dalam konteks ini merujuk kepada yang itu!). Jika pisau yang di bawa cepat tumpulnya asyik perlu diasah atau dikesat lemak yang melekat dengan sabut, kayu pulai atau lain-lain, juga akan dipandang lekeh. Memiliki pisau yang cantik dengan ketajaman yang berterusan adalah ciri yang didambakan oleh lelaki dewasa yang tahu bermasyarakat dalam masyarakat tradisional Melayu ini.

Isnin, 25 Mei 2009

Islamophobia

Islamophobia


Saya telah diajukan satu soalan iaitu apakah faktor-faktor berlakunya islamophobia di kalangan bukan islam dI Malaysia.

Saya belum pernah menulis isu ini lagi walaupun saya pernah berfikir secara serius tentangnya. Satu isu yang memang menarik lalu saya ingin meneka-neka. Mungkin satu dua idea di bawa boleh dikongsi bersama.

Islamophobia boleh didefinisikan secara ringkas sebagai prejudis terhadap Islam. Kesannya ialah diskriminasi terhadap agama, budaya dan hak-hak asasi orang Islam terutama di kawasan di mana umat Islam adalah minoriti.

Saya melihat Islamopobia ada kaitan dengan persepsi negatif terhadap Islam yang telah tertanam sejak sekia lama dan menjadi lebih jelas selepas peristiwa 11 September.

Antara Puncanya;
i. Persepsi negatif orang bukan Islam terhadap kepercayaan dan amalan feqah (apa yang halal dan apa yang haram) yang terima dan diamalkan oleh umat Islam.
ii. Isu kedudukan wanita dalam Islam yang di lihat oleh orang bukan Islam sebagai menindas
iii. Kemunculan golongan fundamentalist yang militan; dan golongan ini dilihat hanya mendokong satu matalamat iaitu menghapuskan orang bukan Islam!
iv. Kebangkitan kuasa politik Islam (seperti Iran dan Turki) dan kekuatan ekonomi negara-negara Islam (seperti negara pengeluar minyak).

Melihat susastera (litt.) sedia ada saya percaya konsep ketuhanan bukan sangat isu yang menyebabkan orang Islam takut kepada Islam. Malahan orang bukan Islam umumnya tidak mempertikaikan konsep ketuhanan Rububiyah – iaitu Tuhan sebagai Penguasa dan Pencipta alam. Hanyasanya mereka tidak mahu menerima bahawa adanya allah yang satu-satunya wajib di sembah dan dipatuhi.

Isnin, 9 Jun 2008

Keluh kesah dari Ulu Tembeling

Saya berada di Kg Bantai dari 7 - 9 Jun kerana menjalankan satu projek penyelidikan yang ada kaitan dengan penyelidikan di taman negara Pahang.
...Ingatkan orang-orang yang duduk dibandar yang terpukul sehingga terpaku dengan kenaikan harga minyak. Rupanya penduduk Ulu Tembeling seperti di kampung Bantai lagi kalut. Setiap hari topik panas di jeti dan kedia-kedai kopi ialah harga minyak.Harga minyak Petrol di sini yang terletak 3 jam perjalanan dengan perahu dari Kulala Tahan kini menjadi RM4.00 seliter. Harga ini jauh lebih mahal dari harga pasaran kerana kos pengangkutan untuk membawa minyak dalam tong-tong kecil dalam perahu memudik Sungai tembeling yang penuh dengan jeram-jeram.
Tambang perahu untuk ke Kuala Tahan naik kepada RM30 dari RM20 dan tambang mudik ke kg-kg di ulu naik kepada RM35 - lebih sukar mudik ke ulu kerana terpaksa melalui beberapa jeram. Sewa sebuah perahu yang dulunya sekitar RM700 sehari kemungkinan menjadi 1000.
Kampung yang secara relatifnya makmur ini kerana selama ini duit berputar dalam komuniti ini sahaja. Sedikit masa lagi saya fikir mereka akan melalui masa-masa yang sukar dengan kenaikan minyak, harga barang dan bil-bil syarikat telco kerana Astro dah sampai ke sini manakala Celcom dan DIGi akan memasang infra telefon prabayar satelit mereka disini dalam sebulan dua ini. Duit yang dulunya beredar dari satu tangan ke satu tangan dalam komuniti kecil ini akan mengalir keluar dengan deras kepada syarikat Minyak dan Telco.
Saya sendiri mungkin jika tanpa grant penyelidikan tidak akan mampu lagi kesana. Kg Bantai, ikan kelah, masak lemak ikan salai atau ikan perkasam, gulai asam rung dan yang penting sekali Jejakl Mat Kilau mungkin akan tinggal sebagai nostalgia.

Jumaat, 6 Jun 2008

Salahkah ?

Salahkah jika orang Melayu mahukan bahasa Melayu di martabatkan dalam sistem pendidikan rendah, menengah dan tinggi?

Salahkah jika orang Melayu mahukan bahasa Melayu kembali menjadi Lingua fraca iaitu bahasa pengantara di antara pelbagai bangsa seperti yang berlaku satu masa dahulu.

Salahkah jika orang Melayu mahukan status "rasmi" bahasa Melayu kekal?

Salahkah jika orang Melayu mahukan jaminan bahwa keistimewaan biasiswa dan peluang-peluang pelajaran terus kekal sebagaimana yang dijamin dalam perkara 153 perlembagaan persekutuan?



Tentulah tidak salah!



Tetapi ada tangan-tangan hitam yang mencucuk hidung media termasuk TV, akhbar malah menjalar hingga ke blog.

Dalam satu iklan tajan NST di TV3, digambarkan sekumpulan pelajar Melayu yang sudah diperingkat menengah tetapi tak tahu berbahasa Inggeris langsung. Rakannnya yang membaca akhbar Inggeris lebih pandai. Dialog iklan berkenaan naif dan berniat jahat; contoh "orang malaysia bacalah dalam bahasa Malaysia". Kesan visualnya pula mengambarkan jika tahu bahasa Inggeris boleh memikat perempuan Mat Salleh. Bahasa Melayu disinonimkan dengan budak-budak nakal dan dunggu!.

Akhbar Inggeris terutama STAR, Sun dan NST rancak menjalankan perang saraf dengan surat-surat pembaca yang terbit secara berkala mengkritik usaha kembali mengguna bahsa Melayu; hanya kerana ada sedikit pengumuman oleh menteri kemungkinan bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi untuk pengajaran sains dan matematik.



Seorang menteri pula mengumumkan bahawa bukan bumiputera akan diberikan kuota 45% biasiswa berbanding 10% sebelumnya. Persoalan yang dibangkitkan oleh ABIM dan GPMS walaupun dengan hujah masing-masing ini dibidas keras oleh elemen politik dan bukan politik bukan bumiputera. Malah blog Malaysia Today mengutuk ABIM kerana membangkitkan hal ini seolah ABIM merestui diskriminasi yang sememangnya dibenci Islam.

Namun hakikatnya, jika hanya 55% sahaja kuota biasiswa untuk orang Melayu maka jelas bilangan pelajar Melayu yang akan mendapat biasiswa kerajaan akan berkurang. Jadi dimana kedudukan peruntukan 153 perlembagaan persekutuan iaitu menjamin hak keistimewaan orang Melayu?. Sepatutnya perubahan struktur ini disertakan dengan cadangan menwujudkan tabung khas untuk pelajar Melayu cemerlang dan lain-lain cadangan seperti yang dibangkitkan oleh beberapa pihak. Saya tak pasti apa sikap orang Melayu dalam organisasi politik yang ada di Malaysia. semuanya macam nak selamatkan diri saja... aku bimbang

Sabtu, 3 Mei 2008

Pemaufakatan Melayu

Kongres Pemaufakatan Melayu yang sedang berlangsung di Johor tidak dapat dapat mengelak daripada pandangan skeptik banyak pihak termasuk saya kerana beberapa sebab. Pertama ia di kemudi oleh GAPENA yang sedia maklum cara fikirnya, kedua; ia dianjurkan selepas kekalahan terburuk parti utama pemerintah, dan sebab yang lebih utama yang menjadikan saya lebih skeptik ialah apakah konsep perpaduan atau pemaufakatan yang hendak dibawa.
Tanpa menafikan perlunya pemaufakatan dalam kalangan umat, tetapi persoalan yang paling asas tetap bagaimanakah bentuk perpaduan itu?
Kita tidak boleh lari dari persoalan konseptual tentang Melayu. Mengikut Prof Naquib, Melayu adalah satu konstruk yang mesti mempunyai tiga unsur utama iaitu; 1. Agama, 2; Bahasa dan 3; nasib politik yang sama. Maknanya kita ada mencapai kesepakatan tentang kemelayuan kita jika kita bertitik tolak dari tiga unsur utama ini.
Liputan akhbar tentang kongres yang disertai berbagai segmen Melayu ini membuat saya tertanya-tanya apakah hala tuju kongres ini? Ada yang menjujung perpaduan budaya dan hanya sekerat-sekerat yang mahukan bahasa Melayu di mertabatkan semula. Mereka yang "menghapuskan" bahasa Melayu dari sistem pendidikan negara adalah sebenarnya yan telah mengugat kekuatan Melayu di negara ini. Lantaran itu mereka dihukum dalam PRU baru-baru ini. Langkah awal mengembalikan sokongan orang Melayu kepada mereka ialah dengan mendaulatkan kembali bahasa Melayu selaras dengan peruntukan 152 perlembagaan Persekutuan. Untuk menguatkan penguasaan bahasa Inggeris janganlah pula bahasa Melayu dilemahkan. Setidak-tidaknya wujudkan situasi menang-menang dalam penguasaan kedua-dua bahasa ini.
Quo Vadis Kongres Permaufakatan Melayu?

Isnin, 28 April 2008

Kiri yang bukan lagi kiri - Belangsungkawa untuk Keluarga Rustam Sani

I

Ketika zaman kanak-kanak hinggalah awal remaja saya selalu keliru dan lambat memberi tindakbalas jika disuruh menentukan antara kiri dan kanan. Beberapa peristiwa lucu dan juga memalukan berlaku kerana response keliru saya tentang kiri dan kanan ini. Pada awal tahun 70'an dalam satu pertandingan menghafal RukunNegara, saya benar-benar malu kerana ketika pertandingan orang lain menggangkat tangan kanan sedangkan saya menggangkat tangan kiri. Satu dewan mentertawakan saya bila saya tersilap mengangkat tangan. begitu juga pada hari angkat nikah saya pada ? bulan 8 tahun 1987 saya menyebabkan seluruh rombongan pengantin lelaki tersilap jalan kerana apabila sampai diselekoh saya menyuruh kawan saya Azhari yang memandu mengambil selekoh kanan sedangkan maksud saya adalah kiri. Ketika zaman Universiti kekeliruan ini tidak berkurang sehingga menjadikan saya terlalu berhati-hati untuk menentukan kanan atau kiri. Formula mudah ialah kanan ialah tangan yang memakai jam! - yang mungkin sesuai untuk saya sahaja. Kamus dewasn edisi-edisi awal juga tidak mendefinisikan dengan jelas kiri dana kanan ini. Mengikut Kamus Dewan " Kiri = adalah lawan kepada kanan".



II

Hari sabtu 26/4/08 saya menghadiri majlis pelancaran buku dan mengenang Alahyarham Rustam Sani di Perpustakaan Tun Uda Shah Alam. Majlis ini dihadiri oleh ramai rakan-rakan beliau terutama yang mengenali beliau melalui kelab sosialis UM. Mendengar ucapan Husin Ali, Hishamuddin Rais dan nostalgia mereka terhadap kelab sosialis membuatkan saya terasa dalam majlis orang-orang kiri. Ucapan sederhana Anwar yang memberi review terhadap buku Rustam dan ketokohan Rustam seolah-olah cuba mencairkan kekirian Rustam dan meletakan pemikiran politik Rustam seiring dengan nilai-nilai universal yang patut didokong semua. Bagi setengah orang, kiri bukan lagi satu konsep politik yang ideologikal tetapi lebih merupakan satu sejarah persekitaran.



III

Kiri yang bukan lagi kiri

Perkembangan selepas PRU 12 menjadikan orang-orang yang dulu dianggap kiri kini bukan lagi kiri. Dengan Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh 3 entiti besar dan salah satu entitinya, PKR -yang sebahagian besarnya digerakan oleh orang-orang yang terkenal kiri maka konsep kiri dan kanan seolah-olah bukan lagi satu isu. Tetapi saya tidak boleh memendamkan perasaan saya bahawa orang kiri tetap kiri dan mereka ideologikal!. Walaupun insyaalah tidaklah sampai menjejaskan aqidah tetapi pemikiran politik, persepsi terhadap unsur-unsur tradisi; eg. agama, budaya dan bangsa, adalah liberal dan moden yang akan anti tradisi.
Untuk bersangka baik, saya tidak menafikan mungkin persepsi saya salah dan tidak representatif dan mungkin rentetan dari kekeliruan "kiri dan kanan"yang terbawa-bawa.

Ahad, 20 April 2008

blue ocean dan belalang yang ingin menjadi helang

Walaupun buku blue ocean strategy telah agak lama tetapi nampaknya kembali dipopularkan malah di UiTM minggu lepas ada program tentang mauduk ini. Blue ocean ini sekarang agak popular terutama di kalangan ahli strategis dan juga ekonomis.
Tidak dapat dinafikan ia mungkin juga relevan dalam dunia akademik, iaitu mencari bidang apa yang nak difokus atau buku bagaimana yang nak ditulis. Dan bidang-bidang ini masih baru sehinga akhirnya kita yang menjadi pakar dalam bidang berkenaan. Idea pokok tentang blue ocean ini tidak lari jauh dari perumpamaan helang dan belalang yang saya telah sentuh dalam tulisan saya dahulu.

Sebagai maklumat awal tentang apakah blue ocean ini disertakan satu petikan sebagai rujukan.

...The Blue Ocean Strategy is a business strategy about capturing uncontested market space, thereby making competition irrelevant. It's also a book written by Professor W. Chan Kim and Professor Renée Mauborgne.
The "oceans" refers to the market or industry. "Blue Oceans" are untapped and uncontested market, which provides little or no competition for anyone who would "dive" in, since the market is not crowded. "Red Ocean" on the other hand, refers to a saturated market where there are fierce competition, already crowded with people (companies) providing the same type of services, producing the same kind of goods.
The idea is to do something different from everyone else, produce something that no one has yet seen, thereby creating a "blue ocean".
Some examples of companies that created the "Blue Ocean":
Cirque du Soleil (unique circus format), Gmail (tons of email storage space for free) and Nintendo Wii (first portable game console with movement sensor devices for gaming)...

Maknanya, jika di padang yang tiada persaingan, belalang akan nampak seperti helang dan jika di padang yang banyak helang, helang yang kecil hanya nampak seperti belalang.

Khamis, 20 Mac 2008

Perlembagaan

Dalam satu program mahasiswa yang baru lalu, YTM Raja Nazrin Shah berkata
"...The Constitution is the supreme law of the land and guarantees the rights of every Malaysian. Get a copy of the Federal Constitution and read it..."
Walaupun memang tidak tersangkal bahawa ramai generasi muda hari ini tidak memahami perlembagaan malaysia apatah lagi menghayatinya, namum generasi "tua" juga ramai yang buta perlembagaan. Perkembangan politik selepas PRU baru-baru ini menyerlahkan lagi kejahilan ini bahkan dalam kalangan YB yang sepatutnya antara kerja mereka ialah mengubal undang-undang juga jahil murakab tentang undang-undang Malaysia.
Contohnya ialah tentang sebesar mana kuasa raja dalam melantik MB. Walaupun raja tertakluk pada nasihat majlis mesyuarat kerajaan negeri (seperti yang termaktub dalam jadual 8) Perlembagaan persekutuan, namun dimaktubkan juga bahawa raja boleh menggunakan budi bicara mereka melantik MB dari kalangan YB yang mendapat sokongan majoriti anggota dewan. Oleh itu apa yang berlaku di Perlis tidak melanggar peruntukan yang ada. Mungkin isunya ialah amalan biasa yang sepatutnya diikuti iaitu YB yang sokongan PM biasanya akan dilantik, telah tidak ikuti.
Dalam kemelut di Terengganu cerita sebenar masih tak jelas. Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa raja yang dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong tidak boleh mencampuri hal merajai negerinya kecuali dalam soal hal ehwal agama. Ini memang termaktub dalam Perlembagaan. tetapi cerita sebenarnya apa?. Adakah tiadanya perlantikan MB walaupun dah 2 minggu pilihanraya adalah kerana tidak perkenan Agong (kerana Pemangku Sultan baru sekolah rendah) atau politik dalam Majlis Penasihat Pemangku Raja atau apa?. Ataupun ketidaksukaan terhadap calon MB yang diwar-warkan memang dapat dibuktikan dengan bukti-bukti sahih. Kenyataan AG terlalu awal . Jika benar ada campur tangan sultan maka jika tiada yang mengalah akan berlakulah krisis perlembagaan. Dalam sejarah Malaysia , Raja tak pernah kalah bila berlaga dengan MB. MB yang selalunya mengalah seperti MB Perak dan MB Pahang yang berundur selepas seketika standoff dengan sultan negeri masing-masing .

Berbalik kepada pentingnya memahami perlembagaan, taklah susah sangatkah nak memahami perlembagaan Malaysia. . Perlembagaan Malaysia telah diterjemahkan ke bahasa Melayu. Terjemahan asal oleh Tun Suffian dan walaupun belum digazet sebagai terjemahan sah perlembagaan Malaysia dari teks asal yang berbahasa Ingeris, namun ia mudah difahami. Buku klasik oleh Tun Suffian Memahami Perlembagaan Malaysia sama ada dalam bahasa Melayu ataupun Inggeris (bulan lepas dilancarkan edisi baru buku ini) adalah syarah yang lengkap untuk memahami perlembagaan Malaysia.
Fahamilah Perlembagaan, dan anda akan tahu hak anda dan juga hak orang lain.

Rabu, 27 Februari 2008

Beraya

Musim pilihanraya ini ramai orang yang beraya sakan. Saya akan mengundi di Dungun Terengganu. Selain dari menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, juga ingin menziarahi kawan-kawan dan tempat saya bermukim selama sepuluh tahun. Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain!
Dalam kesibukan menteri-menteri berkempen dan memastikan kemenangan besar nanti (masihkah mereka menteri selepas parlimen dibubarkan?) , Dato seri Utama Rais Yatim sempat meluangkan masa merasmikan pelancaran 3 buah buku, Dua daripadanya terbitan Arkib Negara tentang Pembangunan Malaysia 50 tahun, edisi coffee table dan sebuah lagi tentang Perlembagaan Malaysia oleh Tun Suffian. Saya membeli sebuah buku lain tentang Tun Suffian yang di tulis oleh Prof Salleh Buang dan Dr. Tunku Sofiah Jewa, manakala buku pembangunan Malaysia terbitan Arkib Negara diberi percuma sebagai door gift, harganya lebih RM200. Seperti biasa dapat buku baru seronok sampai ke malam. Buku terbitan Arkib berkenaan menarik kerana sarat dengan foto-foto klasik koleksi Arkib dan inilah kekuatan buku-buku berkenaan. Manakala buku tentang Tun Suffian (Suff) oleh anak murid/pengikutnya memberi insight baru kepada saya tentang Tun Suffian yang selama ini saya abaikan mungkin kerana perbezaan bidang dan padang.
Ketika perlancaran buku-buku ini saya bersetuju sepenuhnya dengan ucapan DSU Rais bahawa minat membaca kini semakin membimbangkan. Jika PNM menganggarkan purata seorang membaca 2 buah buku dalam setahun, DSU Rais skeptik berdasarkan pengalamannya di parlimennya ,Jelebu NS. Jika beliau bertanya kepada penduduk sana tentang buku apa yang dibaca tahun ini rata-rata jawapannya ialah soalan - "Buku apo?". Jika itu jawapannya macam mana nak cari 2 judul setahun.
Sepintas lalu beliau menyentuh, jika pilihanraya dan pembinaan tamadun (atau pembangunan) tidak berasaskan atau dipandu oleh buku kedua-duanya akan bergerak ke arah yang berbeza.
Tanpa tradisi ilmu gerak kerja manusia ialah mengkorupsikan makna kehidupan sebenar.

Jumaat, 1 Februari 2008

Untuk apa kita berkarya

Banyak cara untuk kita berkarya. Kini semakin ramai orang menghasilkan karya kreatif, travelog, pembikin filem indei. Malah ada pensyarah IPTA yang kerap betul membikin filem. Saya tertanya-tanya bagaimana mereka boleh membahagikan masa sebagai kakaitangan kerajaan/pensyarah dan dalam masa yang sama pengarah filem yang aktif. Paling tidakpun ramai berkarya melalui blog sendiri, menulis cita rasa dan buah pikir untuk di baca oleh orang lain.
Tetapi persoalan pokok yang perlu kita jawab secara sedar ialah untuk apa kita berkarya?.
Baik menulis cerpen, novel, membuat filem atau apa saja, bagi saya ianya mestilah bertujuan membina budaya dan tamadun. Atau perkataan yang selalu digunakan oleh sifu PTS karya kita mestilah dapat memandaikan bangsa.
Sayang amat jika karya-karya kreatif hanya melalut-lalut tanpa tujuan dan apatah lagi memperbodohkan bangsa (baca masyarakat!) seperti yang kita temui lewat filem-filem Melayu kini walaupun di arah oleh pensyarah Universiti yang selalunya digolongan sebagai orang pandai.

Khamis, 10 Januari 2008

Hijrah

Ya hijrah datang lagi.
Satu pembaharuan yang kelihatan tahun ini ialah majlis menyambut tahun baru Islam ini menjadi acara rasmi negara. Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agung (dan PM) hadir di Masjid Negara bersama-sama dengan orang ramai berdoa akhir tahun dan selepas waktu magrib berdoa untuk awal tahun. Sesuatu yang positif.
Namun dari satu segi, budaya hijrah secara literalnya di kalangan umat Islam seolah-olah hampir sirna. Selepas zaman Abbasiah budaya hijrah boleh dikatakan terputus. Berbeza dari zaman Khulafa Ar-Rasyidin dimana sahabat berlumba-lumba berhijrah sehingga ada yang mati di China seperti Saad Ibn Waqas ataupun Musa Asyaari yang wafat di Turki. Mungkin kekayaan yang sedia ada dan wilayah yang sudah cukup luas menjadikan orang Islam yang terkemudian sangat berat untuk berhijrah meninggalkan habitat asal mereka.
Hijrah golongan awalin Islam ialah Hijrah kerana Allah iaitu hijrah yang membawa agama dan bukannya hijrah untuk tujuan duniawi seperti mencari kekayaan ekonomi. Ke mana-mana sahabat berhijrah mereka membawa agama.
Struktur geopolitik dunia hari ini mungkin antara batu penghalang umat Islam berhijrah untuk menyebarkan agama. Halangan terhadap Turki menyertai EU mungkin untuk menghalang penghijrahan orang Islam ke Eropah secara legal.
Harapan masih ada. ICT menjadikan dunia semakin kecil dan semangat hijrah masih boleh dibawa merentas sempadan daerah secara lebih efektif.
Sehari dua ini saya mencari-cari buku yang di tulis oleh Ali Syariati yang menyebut tentang keperluan hijrah dalam pembinaan tamadun manusia. Insyaalah jika saya berjumpa buku yang entah dimana saya letakkan itu idea beliau tentang hijrah yang saya ajukan kembali.
Tulisan Zakaria al-Basheer adalah antara yang tersohor tentang semangat hijrah ini.

Rabu, 2 Januari 2008

Strategi yang tidak membawa kemana-mana

(review dari River Kwai kita tangguhkan dulu)

Serangan berani mati sangat berkesan dalam strategi peperangan Jepun ketika PD II. Serangan bunuh diri Kamikaze atau "Balasan Tuhan" itu disucikan dengan nama sedemikian. Sesungguhnya ia berjaya melemahkan kekuatan Tentera Berikat. Ketika perang Vietnam askar Vietchong juga membantai tentera Amerika melalui serangan bunuh diri. Mereka juga berjaya mengnyahkan pengaruh Amerika dari bumi Vietnam. Perjuangan Tamil Elam juga disinonimkan dengan serangan bunuh diri dan hadiah terbesar daripada serangan seperti ini ialah kepala Perdana Menteri India Rajiv Ghandi.
Metod serangan bunuh diri kini merebak di banyak medan-medan pertelingkahan yang melibatkan umat Islam. Di Palestin, Iraq, Afghanistan, Selatan Thailand, Indonesia, Pakistan dan lain-lain. (Saya belum membaca sendiri dan hanya dengar cakap), Qardawi mengharuskan serangan bunuh diri dalam perjuangan orang Palestin menentang Israel; antara alasannya kebanyakan penduduk Israel adalah tentera kerahan dan penduduk Yahudi adalah sebahagian dari kekuatan Israel. Tetapi keharusan Qardawi hanya dalam perjuangan Palestin dan tidak ditempat lain. Namun fenomena ini berlaku juga di Bali, di Hotel Marriot, dalam-dalam masjid di Iraq dan terbaharu ke atas Benazir.
Fenomena ini menakutkan. Imej Islam juga dihitamkan di mata dunia walaupun media Barat tidak bersikat adil. Pun begitu kita tidak dapat menafikan bahawa ada segelintir umat Islam memilih jalan yang eksterim ini. Tidak banyakpun faedah dari strategi ini kepada perjungan umat Islam. Lebih parah lagi ia akan digunakan ke atas sesiapa sahaja yang tidak berada dipihak mereka.
Ulamak dan cerdik pandai Islam dari seluruh dunia harus bangkit dan berani memfatwakan kesesatan dan balasan azab yang pedih dari tuhan ke atas penyerang berani mati yang menyebabkan nyawa orang awam terkorban. Walaupun hampir terlewat tetapi lebih baik dari tidak berbuat apa-apa.

Rabu, 26 Disember 2007

Sejarah kecil dan sejarah besar

Sejarah secara konvensionalnya ialah sejarah politik; iaitu sejarah tentang jatuh bangunnya sesebuah kerajaan. Pendekatan yang lebih menarik kini ialah aliran Fernand Braudel yang menjadikan semua aspek budaya dan cara hidup manusia sebagai sejarah. Ini termasuklah tentang tempat tinggal, amalan pemakanan, tempat tinggal hatta cara gaya kehidupan seksual. Menariknya sejarah bukan lagi sejarah golongan elit dan dicipta oleh orang besar-besar. Semua kita ialah pelaku atau pencipta sejarah. Sejarawan besar seperti K.N Chaudhuri yang menulis tentang sejarah India dan Anthony Reid yang menulis tentang sejarah negeri di bawah angin, antara penulis yang menghasilkan sejarah total yang lebih menarik untuk dibaca.
Sejarawan biasanya orang-orang yang bernama besar, tetapi sebuah buku baru yang diselenggra oleh Daruis Lidin, Dari River Kwai ke Sungai Temboh adalah antara karya menarik yang ditulis oleh orang kecil; Halimi Ibrahim tentang sejarah yang sangat besar. Malaya sebelum pendudukan Jepun, zaman pendudukan Jepun dan pra merdeka. Menarik. Insyaalah review nya akan menyusul