Memaparkan catatan dengan label Buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Buku. Papar semua catatan

Selasa, 3 Februari 2009

cuti-cuti buku



Cuti Tahun Baru China dan cuti semester memberi sedikit ruang untuk saya mensasarkan membaca cover to cover sebuah atau dua buah buku. Saya memilih sebuah novel Indonesia, Laskar Pelangi karya Andrea Hirata yang saya beli untuk bacaan keluarga hampir setahun lalu. Walaupun minat membaca novel hampir-hampir hilang dengan kesibukan dan buku serius yang sangat banyak sehingga tak terkejar, namun anak-anak dan isteri beria-ria menyuruh saya membacanya dan memberi remark positif. Mereka tahu saya mengemari genre biografi dan memoir dan kata mereka saya tentu suka novel ini.

Buku setebal 444 halaman ini mulanya saya jangka dapat dihabiskan dalam masa 2 hari tetapi saya mengambil masa hingga seminggu. Nampaknya saya sudah tidak secepat dulu lagi bila membaca . Mungkin juga buku ini tidak cukup kuat untuk mengikat saya- untuk terus membaca secara konsisten. Hanya di hujung-hujung buku ini baru ada wow factor-nya.

Ulasan tentang buku ini telah banyak sudah muncul terutama di dalam media Indonesia. Malah segmen video bicara/ngobrol/bedah buku muncul agak banyak dalam YouTube. Pendekatan memoir - pengkisahan secara berepisod memang menarik bagi saya. Ciri fiksyen dalam novel yang menyebabkan saya kurang membaca novel agak lama dan hal ini berubah lewat karya Andrea ini. Walaupun novel ni tokok tambah pengalaman hidup pengarangnya dengan cara menunjuk-nunjuk kehebatan pengetahuannya dari Salvador Dali sampai ke Enstien dan entah sapa-sapa lagi tetapi saya boleh menerimanya.

Khabarnya filem adaptasi dari novel ini sedang beredar di Indonesia. Tetapi saya tak berharap sangat ia sebaik novel. Memang sukar mengadaptasi novel ke filem. Saya sebut kepada pelajar saya dulu jika mereka membaca novel Ayat-Ayat Cinta dan gembira serta puas hati, maka cukup setakat itu- tak payah lah lihat filemnya. Ianya mengecewakan.

Buku kedua;
Ianya sebuah buku lama oleh Judith Nagata (1984) The Reflowering of Malaysian Islam. Sebuah kajian sosiologikal tentang kesan dakwah di Malaysia. Saya dah membaca beberapa bahagian buku ini sejak akhir tahun 1980 lagi. Namun kini saya tertarik dengan hujah-hujah Nagata terutama evolusi identiti Melayu. Kesan perkembangan politik sejak pilihanraya lepas hinggalah dalam pilihanraya kecil KT, tampak jelas identiti dan imej orang Melayu terus berevolusi dengan Islam menjadi tanda/ciri pengenalan yang semakin jelas dan didambakan. Namun hanya dua bab; bab pertama dan bab tujuh sempat saya hadamkan. Mungkin akan disambung balik jika ada peluang untuk cuti-cuti buku nanti.

Ahad, 14 Disember 2008

Buku Scientology, wajarkah?

Ada persoalan tentang kewajaran meletakan buku L. Ron Hubbard, Scientology 0-8: The books of Basics, di rak perpustakaan kita.

Sebelum saya memberi pandangan saya mungkin kita perlu tahu sedikit sebanyak tentang scientology ini dahulu.
Scientology sering diwar-warkan oleh pemuka dan pengikutnya sebagai sebuah falsafah yang setaraf dengan agama. Mereka mendakwa ajaran baru ini menawarkan satu metodologi yang dapat menolong manusia mencapai kesadaran jiwa melalui pemahaman tentang “thetan” (jiwa) sehingga menjadikan manusia lebih efektif dalam dunia fizikal .

Adakah ia Agama baru atau ajaran sesat?
Scientology mahukan status agama dan hasilnya ada negara dan juga pakar keagamaan leberalis mengiakan Scientology sebagai satu agama. Tetapi Scientology juga kerap didakwa oleh banyak pihak yang berautoriti sebagai sebuah agama palsu, ajaran sesat dan juga satu jaringan perniagaan yang tidak jujur dan mengeksploitasi pengikut-pengikutnya. Scientology menjadi ikutan banyak selebriti popular barat dan juga menjadi faham ataupun ”agama” alternatif kepada golongan ateis. Malah Scientology kini cuba melebarkan pengaruhnya melalui dunia latihan kendiri dan motivasi. Buku Scientology 0-8: The books of Basics adalah satu contoh usaha ini.

Jika Scientologi ini cukup kalut maka wajarkah buku ini berada dalam perpustakaan kita?

Perpustakaan adalah satu portal keilmuan dan dasarnya ialah bersikap terbuka terhadap semua bahan-bahan ilmu. Maka dalam perpustakaan kita ada buku tentang Marxism, neo-marxisme, sosialisme, buku-buku tentang agama-agama besar dunia sampailah kepada buku neo-sufi yang meragukan; seperti buku-buku Idries Shah.

Mengharamkan buku ini tidak menyelesaikan masalah kerana maklumat tentang Scientology mudah diakses melalui internet dan tidak signifikan kita melarangnya berada dalam rak-rak buku perpustakaan kita. Kecualilah jika ada kuasa legalistik seperti ianya diharamkan oleh KDN, barulah kita tiada pilihan selain daripada mengeluarkannya dari rak buku perpustakaa kita.Pun begitu setengah perpustaakaan (contohnya UKM) mempunyai koleksi khas buku yang diharamkan dan aksesnya ialah melalui kebenaran pustakawan.

Ada sesuatu yang boleh dipelajari dari buku seperti ini. Pendekatan dan skima buku ini boleh dijadikan rujukan ataupun diadaptasi untuk menghasilkan buku-buku dan rujukan yang lebih berkesan dan sesuai dengan agama dan budaya kita. Tetapi sayarat utama ialah kita memahami akar kita dahulu dan membaca buku dari tradisi lain dengan penuh kesadaran dan kritis. Selama inipun kita membaca buku Norman Vincent Peale, The Power of Positive Thinking yang menjadi bahan bacaan motivasi popular walaupun ilmunya belatarkan agama Kristian.

Buku dari tradisi lain juga menghasilkan banyak karya-karya besar terutama dalam bidang motivasi misalnya Buku 7 Habits oleh Covey banyak melatari Buku ESQ oleh A. Ginanjar dan lain-lain ahli motivasi Islamis. Begitu juga tradisi psiokologi S. Frued yang mulhid diadaptasi oleh Malik Badri sehingga menghasilkan satu pendekatan psikologi Islam yang popular.

Kesimpulannya, jika teoritikal framework kita jelas maka rujukan silang dengan buku dari tradisi lain bukan satu masalah malah memberi banyak nilai tambah.

Ya, satu isu akan timbul, bolehkan pelajar-pelajar kita yang masih di awal proses sintesis keilmuan mereka membedakan antara ilmu yang benar dengan pseudo-ilmu/ilmu palsu?. Dalam konteks perpustakaan kita mungkin cadangan ini boleh dilaksanakan.

Saya cadangkan buku-buku seperti ini jika diletakan dirak terbuka wajar diberi satu tampalan notis di halaman dalam ataupun stemping yang berbunyi:
”PELAJAR MUSLIM YANG INGIN MERUJUK BUKU INI DINASIHATKAN AGAR LEBIH BERHATI-HATI”

Bolehkah dari segi profesyen dan etika pustakawan berbuat begitu?

Isnin, 2 Jun 2008

Aku Terima Nikahnya

Sempena cuti sekolah, cuti semester, jemputan kawin dari saudara mara dan kewajipan menziarah keluarga maka bercutilah saya seminggu. Cuti yang meletihkan. Bab yang paling meletihkan ialah menolong kerja kawin saudara mara. Satu cara klasik "membayar balik" pertolongan mereka semasa kenduri kawin saya dulu. Walaupun saya lemas dengan praktis dan aksesori yang sangat berlebih-lebih dalam majliis kawin kini tapi saya akur fungsi sosialnya dan ini menjustifikasikannya.

Untuk mengembirakan hati sendiri saya mencari sudut dan ceruk yang tidak melemaskan, antaranya di gedehok (dapur) - menolong memasak. Dalam satu majlis kenduri 30/5/08 lalu saya sangat gembira dapat membantu seorang tukang masak veteran memasak gulai reyaih (umbut) pisang. Dari pagi sampai tengah hari saya menjadi sebahagian dari team tukang masak. Siap dapat "ijazah " lagi cara masak gulai reyaih pisang cara orang Baling.

Bila majlis kawin satu isu yang mudah tetapi menjadi susah ialah hadiah apa yang sesuai untuk pengantin. Saya suka bagi buku. Tapi anak-anak dan isteri kata pelik. Selalunya demi menghormati perasaan isteri ,saya biarkan dia yang tentukan hadiah yang dia rasa sesuai untuk pengantin.

Tetapi untuk beberapa jemputan kawin di Kedah lalu saya mahu hadiahnya ialah sebuah buku dengan tajuk yang sangat menarik; Aku Terima Nikahnya. Sayangnya banyak kedai buku yang saya terjah di Bandar Alor Setar tak tahupun ada buku ini. Mungkin bukan salah mereka kerana buku ini masih baru. Kalau adapun mungkin mereka tak perasan kerana tak ramai juru jual buku meminati buku. Gagal mencari buku ini menyebabkan saya membatalkan hajat mencari hadiah ideal seorang bibliomania!

Buku ini menarik minat saya kerana tajuknya sesuai amat untuk pengantin lelaki. Isinya wajar dan Islami. Di tambah pula sangat jarang kita jumpa buku dari perspektif lelaki yang ghalibnya berego tinggi dan tak pandai pula mengekspresi suara hati mereka.

Buku ini juga contoh yang sangat ideal dalam bidang penerbitan yang saya ceburi kini. Desain kulit dan tajuk adalah antara elemen penting menarik pembaca dan melariskan buku. Tajuk juga kadangkala boleh menakutkan pembeli malah prasangka yang bukan-bukan.

Rabu, 2 April 2008

Buku -Kongsi Gelap Melayu


Dalam sejarah Malaysia, kongsi gelap selalunya sinonim dengan etnik Cina. Kumpulan Ghee Hin dan Hai San antara dua kumpulan kongsi gelap yang sangat berpengaruh dalam abad ke 19 dan 20. Abdullah Munshi juga memberikan naratif yang sangat menarik tentang penyamarannya ke satu sarang kongsi gelap dalam abad ke 19.

Kongsi gelap Melayu hampir tidak pernah di ketahui sehinggalah muncul sebuah buku oleh Mahani Musa (2003) Kongsi Gelap Melayu: Di Negeri-Negeri Utara Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu 1821-1940an, terbitan MBRAS.

Buku yang memenangi anugerah Mubin Sheppard 2003, memang menarik kerana ia memaparkan satu sisi masyarakat Melayu yang jarang dibincangkan. Kewujudan kumpulan ini berbagai, ada yang kiri dan ada yang kanan; dikenali sebagai bendera putih dan bendera merah . Pengaruh kumpulan agama dalam kongsi gelap ini juga agak ketara. Malah boria yang mula bertapak di Pulau Pinang tidak terlepas dari pengaruh kingsi gelap.


bersambung.....

Selasa, 19 Februari 2008

Mari membaca

Kecenderungan membaca semakin menipis dalam kalangan gernerasi baru. Selain dari permasalahan sikap lanjutan dari cara gaya pendidikan yang diterima, malas membaca diteguhkanlagi dengan budaya mengoogle dan melayari internet untuk fakta dan berita. Semua akan diserap tanpa tapisan. Munasabahlah setengah pihak melihat monopoli gergasi enjin pencarian dan ensaiklopedia online pada masa depan akan mendefinasikan ilmu, kebenaran dan fakta mengikut gaya dan selera mereka. Kebenaran nantinya bukan kerana nilai intrinsiknya tetapi kerana kuasa menjana maklumat dlam saiz giga.
Kepentingan mencari maklumat melalui internet tidak lah juga boleh diperkecilan. Ketika research tentang masjid baru-baru ini, saya ketemu info yang sangat berguna tentang pengurusan masjid di alaf baru ini yang diupload oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Maklumat ini tidak mungkin say aketemu dalam masa terdekat jika tidak melalui internet.
Pun begitu membaca buku tidak dapat menganti ilmu lewat internet baik dari segi kepuasan, kesan dan perasaan.
Hambatan dalam dunia moden ini menyukarkan proses pembacaan yang efektif dan ekstensif.
Beberapa kaedah untuk membaca cepat dan banyak selalu diceritakan orang. Beberpa petua yang dihamburkan nampaknya menjadi juga.
Kata mereka, antaranya jika kita dapat mendisiplinkan diri membaca selama setengah jam sehari, maknanya kita akan membaca 52 buah buku yang sederhana tebalnya dalam setahun. WOW.
Masa pagi ataupun lewat malam selalu menjadi pilihan ramai orang untuk melakukan pembacaan serius kerana kurang gangguan.
Untuk menyerap kesan maksima hasil pembacaan, konsentrasi penting dan boleh dicapai dengan menunjuk setiap baris teks yang dibaca.
Dua petua yang difatwakan ini tidak rugi jika diamalkan.