Sempena cuti sekolah, cuti semester, jemputan kawin dari saudara mara dan kewajipan menziarah keluarga maka bercutilah saya seminggu. Cuti yang meletihkan. Bab yang paling meletihkan ialah menolong kerja kawin saudara mara. Satu cara klasik "membayar balik" pertolongan mereka semasa kenduri kawin saya dulu. Walaupun saya lemas dengan praktis dan aksesori yang sangat berlebih-lebih dalam majliis kawin kini tapi saya akur fungsi sosialnya dan ini menjustifikasikannya.
Untuk mengembirakan hati sendiri saya mencari sudut dan ceruk yang tidak melemaskan, antaranya di gedehok (dapur) - menolong memasak. Dalam satu majlis kenduri 30/5/08 lalu saya sangat gembira dapat membantu seorang tukang masak veteran memasak gulai reyaih (umbut) pisang. Dari pagi sampai tengah hari saya menjadi sebahagian dari team tukang masak. Siap dapat "ijazah " lagi cara masak gulai reyaih pisang cara orang Baling.
Bila majlis kawin satu isu yang mudah tetapi menjadi susah ialah hadiah apa yang sesuai untuk pengantin. Saya suka bagi buku. Tapi anak-anak dan isteri kata pelik. Selalunya demi menghormati perasaan isteri ,saya biarkan dia yang tentukan hadiah yang dia rasa sesuai untuk pengantin.
Tetapi untuk beberapa jemputan kawin di Kedah lalu saya mahu hadiahnya ialah sebuah buku dengan tajuk yang sangat menarik; Aku Terima Nikahnya. Sayangnya banyak kedai buku yang saya terjah di Bandar Alor Setar tak tahupun ada buku ini. Mungkin bukan salah mereka kerana buku ini masih baru. Kalau adapun mungkin mereka tak perasan kerana tak ramai juru jual buku meminati buku. Gagal mencari buku ini menyebabkan saya membatalkan hajat mencari hadiah ideal seorang bibliomania!
Buku ini menarik minat saya kerana tajuknya sesuai amat untuk pengantin lelaki. Isinya wajar dan Islami. Di tambah pula sangat jarang kita jumpa buku dari perspektif lelaki yang ghalibnya berego tinggi dan tak pandai pula mengekspresi suara hati mereka.
Buku ini juga contoh yang sangat ideal dalam bidang penerbitan yang saya ceburi kini. Desain kulit dan tajuk adalah antara elemen penting menarik pembaca dan melariskan buku. Tajuk juga kadangkala boleh menakutkan pembeli malah prasangka yang bukan-bukan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan