Isnin, 7 Januari 2008

Randau- Pertemuan dengan S.H. Nasr

Saya mula mendengar buku-buku Sayyed Hoessin Nasr sebelum saya masuk universiti lagi iaitu sekitar tahun 1980 an. Bukunya, Islam ideas and realities saya lihat di rak buku seorang sahabat di kampung Teluk, Bukit Pinang, Kedah tahun 1981. Bila masuk U saya lihat banyak judul buku-buku tersimpan di perpustakaan Tun Sri Lanang. Buku-buku genre ini memang tak banyak yang meminjamnya; mungkin susah nak difahami. Saya bertatih untuk memahami idea-idea dari buku beliau. Di campur pembacaan yang sangat perlahan dengan hearsay dari beberapa tokoh saya memahami sedikit sebanyak idea beliau. Tokoh-tokoh Parenial Philosophy sealiran dengan beliau seperti juga sangat mengujakan.
Satu hari pada tahun 1986, baru lepas graduate, saya mendapat khabar yang Prof Nasr akan datang ke Malaysia dan akan bermalam di rumah bekas pelajar Ph D nya di sebuah rumah/kuaters kerajaan di belakang bangunan Parlimen. Saya dengan seorang lagi kawan Sdr Nurhalim Yunus, ditawarkan untuk hadir sama dalam pertemuan tertutup dengan Prof. S.H. Nasr. Wow.
Pada hari yang dijanjikan saya dengan sdr Nurhalim menunggang kapchai menuju kawasan perumahan kerajaan di belakang bangunan Parlimen dan berjumpa dengan Ust Uthman el-Muhammady, Hj Ismail Mina dan seorang lagi yang telah lama mempunyai konteks dengan Prof. Nasr tetapi tidak pernah berjumpa secara personal. Sampai dirumah berkenaan telah masuk waktu magrib dan kami disambut oleh Tuan rumah dan juga Prof. Nasr.
Prof Nasr meminta Ust Uthman menjadi imam solat magrib. Lega... , kerana jika Nasr sendiri yang menjadi imam akan timbul isu - nak ikut ke tidak. Sementelahan pula dia seorang pengikut Syiah, siap mengeluarkan tanah karbala untuk dijadikan tempat sujud.
Selepas magrib sesi ramah mesra dan b erbual-bual berlangsung. Walaupun di Iran kelompok Islam di bawah Khomeni telah berkuasa tetapi Prof. Nasr seumpama persona non grata. Mungkin kerana penglibatannya dalam program atau institusi pendidikan yang di naungi oleh Shah Iran. Kata Prof Nasr, walaupun buku-bukunya masih dijadikan rujukan utama tetapi namanya sebagai pengarang diblackout. Tahun-tahun disekitar 80-an Iraq menyerang Iran dan dicanangkan pula yang Nasr menyokong Iraq!. Dalam pertemuan malam itu ia menjawab beberapa isu terutama sikapnya terhadap Perang Iran-Iraq. Dia tidak menyokong Iraq , tetapi ia menyesali peperangan yang sedang berjalan di mana Iran menghantar tentera-tenteranya termasuk sukarelawan muda dari "pondok-pondok" agama di Iran ke medan perang. Langkah ini kata Nasr akan menyebabkan tradisi keilmuan keagamaan akan terbantut. Proses melahirkan mullah dan Ayatullah berjalan sangat lama dan jika semua orang sibuk berperang mana mungkin akan ada ulama-ulama yang benar-benar berkelibar. Kritik-kritiknya seperti inilah yang membuatkan ia dipandang negatif sehingga dia lebih banyak menghabiskan masa di Amerika. Namun konteksnya dengan ulama tradisional Iran masih akrab. Prof. Nasr bercakap dengan lembut tetapi sangat tegas dan jelas. Aku dan Nurhalim memang membawa tape recorder untuk merakamkan pertemuan yang sangat bersejarah itu. Kami meminta izin untuk merakam randau malam itu dan dibenarkan oleh Prof. Nasr dengan ingatan ianya untuk kegunaan sendiri dan tidak boleh disebarkan. Sayangnya bila kami balik tak ada suara yang terakam. Mungkin kerana baterinya sangat lemah.

Tiada ulasan: