Khamis, 10 Januari 2008

Hijrah

Ya hijrah datang lagi.
Satu pembaharuan yang kelihatan tahun ini ialah majlis menyambut tahun baru Islam ini menjadi acara rasmi negara. Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agung (dan PM) hadir di Masjid Negara bersama-sama dengan orang ramai berdoa akhir tahun dan selepas waktu magrib berdoa untuk awal tahun. Sesuatu yang positif.
Namun dari satu segi, budaya hijrah secara literalnya di kalangan umat Islam seolah-olah hampir sirna. Selepas zaman Abbasiah budaya hijrah boleh dikatakan terputus. Berbeza dari zaman Khulafa Ar-Rasyidin dimana sahabat berlumba-lumba berhijrah sehingga ada yang mati di China seperti Saad Ibn Waqas ataupun Musa Asyaari yang wafat di Turki. Mungkin kekayaan yang sedia ada dan wilayah yang sudah cukup luas menjadikan orang Islam yang terkemudian sangat berat untuk berhijrah meninggalkan habitat asal mereka.
Hijrah golongan awalin Islam ialah Hijrah kerana Allah iaitu hijrah yang membawa agama dan bukannya hijrah untuk tujuan duniawi seperti mencari kekayaan ekonomi. Ke mana-mana sahabat berhijrah mereka membawa agama.
Struktur geopolitik dunia hari ini mungkin antara batu penghalang umat Islam berhijrah untuk menyebarkan agama. Halangan terhadap Turki menyertai EU mungkin untuk menghalang penghijrahan orang Islam ke Eropah secara legal.
Harapan masih ada. ICT menjadikan dunia semakin kecil dan semangat hijrah masih boleh dibawa merentas sempadan daerah secara lebih efektif.
Sehari dua ini saya mencari-cari buku yang di tulis oleh Ali Syariati yang menyebut tentang keperluan hijrah dalam pembinaan tamadun manusia. Insyaalah jika saya berjumpa buku yang entah dimana saya letakkan itu idea beliau tentang hijrah yang saya ajukan kembali.
Tulisan Zakaria al-Basheer adalah antara yang tersohor tentang semangat hijrah ini.

Tiada ulasan: