Khamis, 28 Mei 2009
Review Buku Gaza
Judul:Gaza: Kami bersama Tangisanmu
Editor: Osman Ayob, Pisol Maidin dan Gopala Krishnan
Penerbit: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), UiTM Shah Alam
Halaman: 116
Cetakan Pertama: 2009
ISBN 978-967-305-330-8
Apabila Gaza di bom oleh Israel tanpa henti-henti selama hampir sebulan pada akhir tahun 2008 yang lalu, setiap lapisan masyarakat dunia termasuk di Malaysia menyuarakan protes mereka. Pengeboman tanpa belas ihsan yang memusnahkan bumi Gaza yang dapat ditatap dunia melalui pelbagai media dengan visual kematian, kecederaan dan kemusnahan sangat menyayat hati setiap insan yang waras.
Bait-bait dalam buku ini adalah penyataan rasa simpati, empati, marah, kecewa dan juga harapan-harapan daripada 40 orang penulis Malaysia ekoran tragedi di Gaza ini. Mereka bergabung ikhtiar menghasilkan sebuah buku yang diberi judul, Gaza kami bersama tangisanmu. Sungguhpun buku ini adalah himpunan pelbagai genre, seperti cerpen, puisi, pantun dan juga naratif, semuanya berkongsi visi yang sama iaitu melaungkan protes secara bertamadun kepada tindakan babarian Israel ini.
Kombinasi penulis-penulis besar Malaysia seperti Rejab F.I, Osman Ayob, Halim A.R, Nahmar Jami, Ismail Restu, Jamaludin D (sekadar menyebut beberapa nama) dengan penulis-penulis muda terutama dari UiTM menlahirkan satu karya yang sederhana tetapi sangat ikhlas. Tavelog yang mengawali buku ini membawa pembaca ke Gaza menyelami kesukaran, tetapi satu tuntutan kemanusiaan yang perlu dihulurkan kepada umat Palestin di sana. Suara keprihatinan aktivis-aktivis sastera ini dinyatakan seterusnya melalui cerpen-cerpen yang digubal khusus berlatarkan nakbah atau malapetaka yang menimpa Gaza ini. Puisi-puisi yang dimuatkan dalam himpunan ini walaupun agak sederhana tetapi tidak kehilangan kekuatan bahasa dan bisa. Marah, kecewa, sinis, dan jiwa yang hancur luluh melihat kebinasaan akibat kekejaman Israel adalah perulangan-perulangan yang tidak dapat di elakan.
Antara nukilan dalam buku ini yang boleh diketengahkan sebagai contoh adalah seperti berikut.
...Justeru masihkah kita
hanya mampu bermain warna kata
melihat dari jendela suara
mereka memuntahkan peluru
restu Amerika
Inilah suara sinis Abd Rahim Omar (hal 45) melihat sendiwara siasah semasa di Timur Tengah
Derita bumi Gaza pula di nukilkan seperti berikut oleh Jamaludin D.
.. peluru di sini
bebas meletus
membunuh sasaran
meruntuh peradaban
dan mereka bebas mengecat
merah di mana-mana
lantai Gaza membeku
kelat hanyir darah
menjadi sungai mengalir parah (hal 77).
Bahagian akhir buku ini telah memuatkan genre pantun yang semakin terpinggir dalam galeri susastera semasa. Namun terbukti pemilihan kata yang tepat dan beirama masih dapat memberi impak maksima. Contohnya seperti berikut;
Berdiri di pintu mendengar azan
Hati tersentuh terasa sebak
Pelurunya batu perisainya badan
Bergelimpangan tubuh terkoyak rabak (hal 113)
Keuntungan hasil jualan buku ini akan disumbangkan sepenuhnya kepada Tabung Bantuan Gaza yang dikelolakan oleh Aman Palestin Malaysia. UPENA mewakili komuniti penerbitan ilmiah, telah membantu sedayanya menjayakan penerbitan buku ini kerana tragedi Gaza adalah tragedi umat seluruhnya. Tiada erti buku, jurnal, memoir dan monograf segalanya jika kemanusiaan telah menjadi hampa dan dinoda!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan