Selasa, 15 Jun 2010

Buah tangan dari Konya, Turki

kekejaman Israel

Kekejaman israel tidak pernah reda. Dalam khutbah jumaatnya, khatib Masjid Bera, Konya Turki, menyebut insiden di luar pantai Gaza adalah bukti sebuah negara yang tidak mementingkan langsung kemanusiaan dan pembunuhan 9 warga Turki di atas kapal Mavi Marmara adalah testimoni karamnya kemanusiaan di laut berkenaan.


Foto di atas adalah majlis solat jenazah lapan syuhada di Masjid Fatih, Istanbul Turki.

Sekelumit sokongan saya ialah saya berada dalam lautan manusia ini sama-sama menunaikan solat jenazah yang berbetulan dengan lawatan sambil belajar dan seminar Bediuzzaman Said Nursi di Turki dari 1 - 10 Mei 2010 lalu.

Selesai solat bergema sorakan kahrolsun Israel (jahanam/hancur Israeal). ...Insyaalah

harga minyak

Dulu saya pernah menceritakan kegusaran penduduk Kg Bantal kerana kenaikan harga minyak. Apabila saya ke Kemboja bulan Mac 2010 lalu saya terkejut kerana harga minyak di sana lebih RM4.00 seliter. Tak hairanlah motosikal dan tut tut yang sangat inovatif menjadi pilihan penduduk sana.Keadaan yang hampir sama juga berlaku di Vietnam, harga minyak sekitar RM3.80, maka banyaklah motorsikal di jalan raya mereka. Namun lebih sistematik berbanding Kemboja. Apabila saya di Turki saya lagi terkejut kerana harga minyaknya ialah RM8.00 seliter!.
Adakah kita di Malaysia lebih beruntung ataupun inilah gambaran ekonomi dunia yang tidak adil?

Selasa, 6 April 2010

Nota CTU 553

Saya telah upload ringkasan pelajaran CTU 553 (capaiannya melalui tetingkap Kursus Maya di sebelah).
Tujuan ringkasan berkenaan adalah untuk anda memahami bingkai/framework kursus ini. Namun saya suka menekankan di sini bacalah modul HE kerana ia akan membantu anda menjawab peperiksaan dengan lebih baik khususnya soalan objektif yang sangat mencapah itu.

Selasa, 27 Oktober 2009

Teknologi Melayu

Teknologi orang melayu
... lanjutan daripada post yang terdahulu tentang pisau vs keris

Baik keris maupun pisau kedua-duanya adalah sebahagian daripada teknologi orang Melayu. Lebih hebat lagi ia juga adalah hasil seni. Mungkin teknologi moden menekankan aspek agronomi lebih banyak berbanding seni.

Pendekatan sejarah yang dibawa oleh aliran Braudel sangat menarik minat saya kerana ia tidak mengenepikan sejarah teknologi walaupun dalam takrif semasa ia lebih kerap dipanggip kraf. Pendekatan sejarah aliran Annales seperti F. Braudel dan diikuti oleh muridnya seperti K.N. Chaudhuri boleh digunakan dalam konteks mengkaji sejarah kebudayaan di Malaysia. Mengikut mereka kewujudan sesuatu fenomena budaya adalah kerana adanya sejarah dan tradisi yang panjang dan dijelmakan dalam semua spektrum kehidupan secara sedar maupun tidak. Penulisan sejarah aliran Annales ini memang banyak memberi sumbangan dalam mengkaji sejarah teknologi sesuatu masyarakat. Dalam penulisan karya mereka muncul satu pendekatan baru yang dinamakan “total history” yang mula digunakan oleh F. Braudel pada tahun 70-an dalam karyanya tentang peradaban Mediteranean.

Pendekatan ini disambut oleh sejarawan Asia Tenggara seperti Anthony Reid dengan terbitnya buku Southeast Asia in the age of commerce 1450-1680 (1988) dan juga oleh murid Braudel sendiri, K.N. Chaudhuri dengan bukunya Trade and civilisation in the Indian Ocean (1985). Karya Reid dan Chaudhuri ini agak berbeza daripada karya sejarah lain kerana yang menjadi perhatian mereka ialah aspek-aspek budaya material, kehidupan sosial, demografi, pemakanan dan lain-lain sedangkan sejarah politik dan diplomasi hanya disentuh sepintas lalu sahaja.

Sejarah Pisau


Gambar di atas adalah sebilah pisau menyembelih 12 inci yang agak istimewa terutama dari segi proses membuatnya di mana saya terlibat secara langsung dan mengambil masa lebih sebulan untuk disiapkan.
1.Matanya diperbuat daripada besi jenama Braco buatan German yang digunakan dalam peralatan mengerudi minyak di Laut China Selatan. Besinya sangat keras. Tukang besi (orang Kemboja)di Dungun Terengganu yang menempa mata pisau ini mengambil masa hampir 1 jam untuk membakar dan mengetuknya untuk membentuk mata pisau. Saya menunggu dia menempa mata pisau ini takut dia tukarkan dengan besi lain selain daripada memberi panduan bentuk pisau yang saya mahukan. Mata ini tidak disepuh langsung dan hanya dicanai sedikit dengan mesin untuk membentuk mata yang hampir tajam.
2. Mata pisau yang telah disiapkan kemudiannya di sepuh dalam air tanah liat oleh seorang tukang pisau Melayu.Saya minta khusus disepuh dengan air tanah liat dan bukan minyak ataupun air biasa seperti yang dilakukan oleh tukang kemboja. Matanya kemudian di asah daripada pukul 9 pagi hinggalah pukul dua tengahari. Batu asah cap Red Indian buatan Brazil hampir suku hausnya kerana asahan ini.
3.Tukang pisau yang sama juga membuat sarung dan hulu pisau ini. Kayu yang digunakan ialah kayu boi atau dipanggil juga kayu arang. Mulanya saya ingin menggunakan kayu kemuning tetapi setelah mencari dan memesan dari beberapa tempat di Terengganu hasilnya kayu yang terbaik itu tiada yang sesuai. Kayu yang ada terlalu muda dan tidak sesuai untuk membuat sarung pisau.
4. Proses membuat sarung ini mengambil masa hampir seminggu dan upah yang dikenakan oleh tukangnya, seorang pemuda di Dungun, ialah dengan kiraan 1 inci RM10.
5.Hingga kini pisau ini telah digunakan untuk menyembil lebih 10 ekor lembu. Walaupun ketajamanan tidak sehebat pisau sembelihan dari German atau Jepun kerana saiznya yang tebal, tetapi ia sangat lasak.

Selasa, 4 Ogos 2009

Keris vs Pisau

Saya sudah lama ingin menulis tentang simbolisme keris dan pisau ini iaitu pertentangan antara sektor feudal (dilambangkan oleh keris) dengan sektor rakyat (yang dilambangkan oleh pisau). Saya menangguhkannya agak lama kerana saya ingin menulis satu esei ilmiah tentang hal ini. Saya mempunyai perspektif yang agak berbeza daripada Dr Farish Noor yang pernah menulis tentang keris dan nilai simbolismenya lewat artikel beliau beberapa tahun dahulu.

Namun saya mahu mengambil ruang ini untuk membawa isu keris vs pisau ini kerana saya rasa sampai masanya saya memperbetulkan salah tafsir tentang simbol keris dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Antaranya, dalam mereka bentuk kulit buku jika ada isu tentang Melayu maka antara grafik atau gambar yang akan muncul ialah keris, terutama keris yang tidak disarungkan.Persatuan-persatuan dan institusi Melayu juga tidak lekang dari mengasosiasikan diri mereka dengan keris. Ini boleh dilihak dalam logo PEKEMBAR (teka apa nama barunya?), logo di salah sebuah syarikat teksi di Shah Alam malah logo UiTM sendiri ada keris tak bersarung yang bersilang. Keris semacam telah disinonimkan dengan orang Melayu. Benarkah hal ini?.

I
Dalam masyarakat Melayu tradisional pra moden berdasarkan pengalaman saya (tahun-tahun 60-an), keris hanyalah sebagai alat kebesaran, pakaian ataupun aksesori bagi golongan bangsawan sahaja. Rakyat kebanyakan jarang-jarang menyimpan apatah lagi menggunakan keris. Jika adapun keris menjadi satu peralatan dalam perubatan Melayu kerana dianggap mempunyai kuasa magis. Membaca asal usul keris dan hal-hal seputar keris terutama yang ditulis oleh sarjana kolonial Barat membuat saya agak skeptik dengan kedudukan keris dalam masyarakat kebanyakan. Walaupun jurnal JMBRAS tentang keris tulisan A.H. Hill, Wooley dan lain-lain mungkin bersifat etnosentrik namun masih ada kebenaran tentang keris yang mana nilai dan fungsinya telah dilebih-lebihkan hinggalah sekarang.

II
Kepada rakyat kebanyakan hatta hingga sekarang pisau lebih akrab dengan mereka. Jika ada sesuatu majlis kenduri, kecil atau besar yang melibatkan binatang seperti lembu atau kambing dibantai, maka kita akan melihat dengan jelas keakraban pisau dalam masyarakat Melayu. Dalam kerja-kerja kenduri, kaum lelaki akan mengambil tanggungjawab menyembelih, melapah dan menyiang daging. Mereka akan datang dengan membawa pisau-pisau yang cantik berukir tetapi masih mempunyai nilai gunaan. Sebelum kerja dilakukan, pengisian awalnya ialah tayang menayang, bertukar-tukar lihat melihat dan rasa merasa pisau-pisau yang dibawa. Satu keaiban kepada orang lelaki yang datang ke majlis seperti ini tidak membawa bersamanya pisau. Jika ada yang datang tangan kosong akan adalah gelar-mengelar seperti, datang bawa batu pengasah saja ke! (batu dalam konteks ini merujuk kepada yang itu!). Jika pisau yang di bawa cepat tumpulnya asyik perlu diasah atau dikesat lemak yang melekat dengan sabut, kayu pulai atau lain-lain, juga akan dipandang lekeh. Memiliki pisau yang cantik dengan ketajaman yang berterusan adalah ciri yang didambakan oleh lelaki dewasa yang tahu bermasyarakat dalam masyarakat tradisional Melayu ini.

Rabu, 29 Julai 2009

Ucapkan yang baik-baik kepada yang Telah pergi

Saya sangat tidak gemar jika selepas kematian seseorang berita-berita tentangnya disensasikan. Prinsip yang diajarkan oleh Islam mudah- iaitu hormati simati, jika nak bercerita tentangnya cakaplah yang baik-baik sahaja.

Bila saya melihat kosmo di newstand beberapa hari lalu saya terkejut dengan standard etika wartawan kita. Jika sesuatu isu politik dipolitikan itu memanglah dah biasa. Jika seseorang yang dah meninggalpun berita tentangnya disensasikan, sangat keji!. Saya dalam banyak hal tidak ngam dengan idea Marina Mahathir (misalnya idea-idea beliau dalam bukunya Liberal Dose) tetapi bila ia melepaskan geramnya terhadap Harian Kosmo yang juga kerabat Utusan Malaysia itu, saya sangatlah bersetuju dengan Marina. Sangat keterlaluan dan menghina (jikapun ada kebenaran fakta sedikit sebanyak).

Seperti juga saya tak setuju sangat dengan Marina Mahathir, saya juga tak favour dengan filem-filem Yasmin dan isu-isu ala-ala liberal dosenya itu. (Pun begitu saya lebih rela melihat filem beliau jika dipaksa berbanding melihat filem Melayu hasil karyawan filem hatta yang ada Prof. Madya didepannya). Mungkin saya juga lazer terhadap personaliti yang saya mula kenali melalui industri iklan ini, tetapi itu semasa hidup beliau.

Namun, Saya mula menghormati Yasmin bila membaca blog beliau The Storyteller 1 dan The Storyteller 2. Saya akui ia insan istimewa dan saya menghargai usaha belaiu menabur kebaktian terhadap anak yatim, umat Islam Gaza dll yang saya sendiri tak termampu melakukan sebanyak beliau.

Semoga Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, akan mengampuni kesalahan-kesalahan beliau dan memasukkan beliau dalam golongan orang yang beriman. Amin.

Saya turunkan semula beberapa bait pantun yang saya kutip dari Jeff Ooi sebagai kenangan untuk Yasmin

Belangsungkawa untuk Yasmin

Hembusan naluri, semburan akal;
Menusuk jiwa peminat yang tinggal;
Memujuk semangat watan yang kental;
Buat negara - impian tiada kesal...

Sepet, Gubra merintih meminta;
Merintis budaya bersandarkan cinta;
Agarkan kita melanyak sengketa;
Walau bahasa dan kaum berbeda.