Selasa, 4 Ogos 2009

Keris vs Pisau

Saya sudah lama ingin menulis tentang simbolisme keris dan pisau ini iaitu pertentangan antara sektor feudal (dilambangkan oleh keris) dengan sektor rakyat (yang dilambangkan oleh pisau). Saya menangguhkannya agak lama kerana saya ingin menulis satu esei ilmiah tentang hal ini. Saya mempunyai perspektif yang agak berbeza daripada Dr Farish Noor yang pernah menulis tentang keris dan nilai simbolismenya lewat artikel beliau beberapa tahun dahulu.

Namun saya mahu mengambil ruang ini untuk membawa isu keris vs pisau ini kerana saya rasa sampai masanya saya memperbetulkan salah tafsir tentang simbol keris dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Antaranya, dalam mereka bentuk kulit buku jika ada isu tentang Melayu maka antara grafik atau gambar yang akan muncul ialah keris, terutama keris yang tidak disarungkan.Persatuan-persatuan dan institusi Melayu juga tidak lekang dari mengasosiasikan diri mereka dengan keris. Ini boleh dilihak dalam logo PEKEMBAR (teka apa nama barunya?), logo di salah sebuah syarikat teksi di Shah Alam malah logo UiTM sendiri ada keris tak bersarung yang bersilang. Keris semacam telah disinonimkan dengan orang Melayu. Benarkah hal ini?.

I
Dalam masyarakat Melayu tradisional pra moden berdasarkan pengalaman saya (tahun-tahun 60-an), keris hanyalah sebagai alat kebesaran, pakaian ataupun aksesori bagi golongan bangsawan sahaja. Rakyat kebanyakan jarang-jarang menyimpan apatah lagi menggunakan keris. Jika adapun keris menjadi satu peralatan dalam perubatan Melayu kerana dianggap mempunyai kuasa magis. Membaca asal usul keris dan hal-hal seputar keris terutama yang ditulis oleh sarjana kolonial Barat membuat saya agak skeptik dengan kedudukan keris dalam masyarakat kebanyakan. Walaupun jurnal JMBRAS tentang keris tulisan A.H. Hill, Wooley dan lain-lain mungkin bersifat etnosentrik namun masih ada kebenaran tentang keris yang mana nilai dan fungsinya telah dilebih-lebihkan hinggalah sekarang.

II
Kepada rakyat kebanyakan hatta hingga sekarang pisau lebih akrab dengan mereka. Jika ada sesuatu majlis kenduri, kecil atau besar yang melibatkan binatang seperti lembu atau kambing dibantai, maka kita akan melihat dengan jelas keakraban pisau dalam masyarakat Melayu. Dalam kerja-kerja kenduri, kaum lelaki akan mengambil tanggungjawab menyembelih, melapah dan menyiang daging. Mereka akan datang dengan membawa pisau-pisau yang cantik berukir tetapi masih mempunyai nilai gunaan. Sebelum kerja dilakukan, pengisian awalnya ialah tayang menayang, bertukar-tukar lihat melihat dan rasa merasa pisau-pisau yang dibawa. Satu keaiban kepada orang lelaki yang datang ke majlis seperti ini tidak membawa bersamanya pisau. Jika ada yang datang tangan kosong akan adalah gelar-mengelar seperti, datang bawa batu pengasah saja ke! (batu dalam konteks ini merujuk kepada yang itu!). Jika pisau yang di bawa cepat tumpulnya asyik perlu diasah atau dikesat lemak yang melekat dengan sabut, kayu pulai atau lain-lain, juga akan dipandang lekeh. Memiliki pisau yang cantik dengan ketajaman yang berterusan adalah ciri yang didambakan oleh lelaki dewasa yang tahu bermasyarakat dalam masyarakat tradisional Melayu ini.

Rabu, 29 Julai 2009

Ucapkan yang baik-baik kepada yang Telah pergi

Saya sangat tidak gemar jika selepas kematian seseorang berita-berita tentangnya disensasikan. Prinsip yang diajarkan oleh Islam mudah- iaitu hormati simati, jika nak bercerita tentangnya cakaplah yang baik-baik sahaja.

Bila saya melihat kosmo di newstand beberapa hari lalu saya terkejut dengan standard etika wartawan kita. Jika sesuatu isu politik dipolitikan itu memanglah dah biasa. Jika seseorang yang dah meninggalpun berita tentangnya disensasikan, sangat keji!. Saya dalam banyak hal tidak ngam dengan idea Marina Mahathir (misalnya idea-idea beliau dalam bukunya Liberal Dose) tetapi bila ia melepaskan geramnya terhadap Harian Kosmo yang juga kerabat Utusan Malaysia itu, saya sangatlah bersetuju dengan Marina. Sangat keterlaluan dan menghina (jikapun ada kebenaran fakta sedikit sebanyak).

Seperti juga saya tak setuju sangat dengan Marina Mahathir, saya juga tak favour dengan filem-filem Yasmin dan isu-isu ala-ala liberal dosenya itu. (Pun begitu saya lebih rela melihat filem beliau jika dipaksa berbanding melihat filem Melayu hasil karyawan filem hatta yang ada Prof. Madya didepannya). Mungkin saya juga lazer terhadap personaliti yang saya mula kenali melalui industri iklan ini, tetapi itu semasa hidup beliau.

Namun, Saya mula menghormati Yasmin bila membaca blog beliau The Storyteller 1 dan The Storyteller 2. Saya akui ia insan istimewa dan saya menghargai usaha belaiu menabur kebaktian terhadap anak yatim, umat Islam Gaza dll yang saya sendiri tak termampu melakukan sebanyak beliau.

Semoga Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, akan mengampuni kesalahan-kesalahan beliau dan memasukkan beliau dalam golongan orang yang beriman. Amin.

Saya turunkan semula beberapa bait pantun yang saya kutip dari Jeff Ooi sebagai kenangan untuk Yasmin

Belangsungkawa untuk Yasmin

Hembusan naluri, semburan akal;
Menusuk jiwa peminat yang tinggal;
Memujuk semangat watan yang kental;
Buat negara - impian tiada kesal...

Sepet, Gubra merintih meminta;
Merintis budaya bersandarkan cinta;
Agarkan kita melanyak sengketa;
Walau bahasa dan kaum berbeda.

Khamis, 28 Mei 2009

Review Buku Gaza


Judul:Gaza: Kami bersama Tangisanmu
Editor: Osman Ayob, Pisol Maidin dan Gopala Krishnan
Penerbit: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), UiTM Shah Alam
Halaman: 116
Cetakan Pertama: 2009
ISBN 978-967-305-330-8


Apabila Gaza di bom oleh Israel tanpa henti-henti selama hampir sebulan pada akhir tahun 2008 yang lalu, setiap lapisan masyarakat dunia termasuk di Malaysia menyuarakan protes mereka. Pengeboman tanpa belas ihsan yang memusnahkan bumi Gaza yang dapat ditatap dunia melalui pelbagai media dengan visual kematian, kecederaan dan kemusnahan sangat menyayat hati setiap insan yang waras.

Bait-bait dalam buku ini adalah penyataan rasa simpati, empati, marah, kecewa dan juga harapan-harapan daripada 40 orang penulis Malaysia ekoran tragedi di Gaza ini. Mereka bergabung ikhtiar menghasilkan sebuah buku yang diberi judul, Gaza kami bersama tangisanmu. Sungguhpun buku ini adalah himpunan pelbagai genre, seperti cerpen, puisi, pantun dan juga naratif, semuanya berkongsi visi yang sama iaitu melaungkan protes secara bertamadun kepada tindakan babarian Israel ini.

Kombinasi penulis-penulis besar Malaysia seperti Rejab F.I, Osman Ayob, Halim A.R, Nahmar Jami, Ismail Restu, Jamaludin D (sekadar menyebut beberapa nama) dengan penulis-penulis muda terutama dari UiTM menlahirkan satu karya yang sederhana tetapi sangat ikhlas. Tavelog yang mengawali buku ini membawa pembaca ke Gaza menyelami kesukaran, tetapi satu tuntutan kemanusiaan yang perlu dihulurkan kepada umat Palestin di sana. Suara keprihatinan aktivis-aktivis sastera ini dinyatakan seterusnya melalui cerpen-cerpen yang digubal khusus berlatarkan nakbah atau malapetaka yang menimpa Gaza ini. Puisi-puisi yang dimuatkan dalam himpunan ini walaupun agak sederhana tetapi tidak kehilangan kekuatan bahasa dan bisa. Marah, kecewa, sinis, dan jiwa yang hancur luluh melihat kebinasaan akibat kekejaman Israel adalah perulangan-perulangan yang tidak dapat di elakan.

Antara nukilan dalam buku ini yang boleh diketengahkan sebagai contoh adalah seperti berikut.
...Justeru masihkah kita
hanya mampu bermain warna kata
melihat dari jendela suara
mereka memuntahkan peluru
restu Amerika
Inilah suara sinis Abd Rahim Omar (hal 45) melihat sendiwara siasah semasa di Timur Tengah

Derita bumi Gaza pula di nukilkan seperti berikut oleh Jamaludin D.
.. peluru di sini
bebas meletus
membunuh sasaran
meruntuh peradaban
dan mereka bebas mengecat
merah di mana-mana
lantai Gaza membeku
kelat hanyir darah
menjadi sungai mengalir parah (hal 77).

Bahagian akhir buku ini telah memuatkan genre pantun yang semakin terpinggir dalam galeri susastera semasa. Namun terbukti pemilihan kata yang tepat dan beirama masih dapat memberi impak maksima. Contohnya seperti berikut;

Berdiri di pintu mendengar azan
Hati tersentuh terasa sebak
Pelurunya batu perisainya badan
Bergelimpangan tubuh terkoyak rabak (hal 113)


Keuntungan hasil jualan buku ini akan disumbangkan sepenuhnya kepada Tabung Bantuan Gaza yang dikelolakan oleh Aman Palestin Malaysia. UPENA mewakili komuniti penerbitan ilmiah, telah membantu sedayanya menjayakan penerbitan buku ini kerana tragedi Gaza adalah tragedi umat seluruhnya. Tiada erti buku, jurnal, memoir dan monograf segalanya jika kemanusiaan telah menjadi hampa dan dinoda!

Isnin, 25 Mei 2009

Islamophobia

Islamophobia


Saya telah diajukan satu soalan iaitu apakah faktor-faktor berlakunya islamophobia di kalangan bukan islam dI Malaysia.

Saya belum pernah menulis isu ini lagi walaupun saya pernah berfikir secara serius tentangnya. Satu isu yang memang menarik lalu saya ingin meneka-neka. Mungkin satu dua idea di bawa boleh dikongsi bersama.

Islamophobia boleh didefinisikan secara ringkas sebagai prejudis terhadap Islam. Kesannya ialah diskriminasi terhadap agama, budaya dan hak-hak asasi orang Islam terutama di kawasan di mana umat Islam adalah minoriti.

Saya melihat Islamopobia ada kaitan dengan persepsi negatif terhadap Islam yang telah tertanam sejak sekia lama dan menjadi lebih jelas selepas peristiwa 11 September.

Antara Puncanya;
i. Persepsi negatif orang bukan Islam terhadap kepercayaan dan amalan feqah (apa yang halal dan apa yang haram) yang terima dan diamalkan oleh umat Islam.
ii. Isu kedudukan wanita dalam Islam yang di lihat oleh orang bukan Islam sebagai menindas
iii. Kemunculan golongan fundamentalist yang militan; dan golongan ini dilihat hanya mendokong satu matalamat iaitu menghapuskan orang bukan Islam!
iv. Kebangkitan kuasa politik Islam (seperti Iran dan Turki) dan kekuatan ekonomi negara-negara Islam (seperti negara pengeluar minyak).

Melihat susastera (litt.) sedia ada saya percaya konsep ketuhanan bukan sangat isu yang menyebabkan orang Islam takut kepada Islam. Malahan orang bukan Islam umumnya tidak mempertikaikan konsep ketuhanan Rububiyah – iaitu Tuhan sebagai Penguasa dan Pencipta alam. Hanyasanya mereka tidak mahu menerima bahawa adanya allah yang satu-satunya wajib di sembah dan dipatuhi.

Rabu, 8 April 2009

Ringkasan kursus saya

Sila lihat ringkasan kursus saya melalui link disebelah.

Rabu, 11 Februari 2009

Sentimen Perkauman dan feudalisme

Perkembangan politik di beberapa negeri di Malaysia nampaknya bergolak sakan. Sungguhpun isu ini isu politik tetapi saya tidak boleh memilih untuk diam. Ada dua kesan negatif yang saya lihat jika tidak ditangani dengan bijak akan memudaratkan struktur sosial yang sedia ada. Dua kesan negatif ini ialah berkembang biaknya sentimen perkauman dan melalutnya feudalisme.

Walaupun hubungan inter etnik di Malaysia bukanlah baik sangat tetapi agak stabil terutama selepas peristiwa 13 mei 69. Persepakatan politik baik melalui BN maupun PR menunjukkan rakyat Malysia pelbagai kaum telah boleh menerima prinsip perkongsian kuasa, sumber dan negara sesama warga. Integriti dan keadilan telah menjadi fokus dan kreteria penting dalam membuat dasar baik di pihak kerajaan maupun pembangkang. Sayangnya, perkembangan politik mutakhir menunjukkan elemen perkauman semakin dilayan dan media arus perdana semacam tidak prihatin untuk memperbaiki keadaan malah mensensasikannya lagi. Pilihanraya kecil seperti di KT menunjukkan pengundi menolak isu perkauman dan mungkin dalam pilihanraya di dua bukit nanti trennya akan berulang, kecualilah sentimen perkauman dimainkan untuk kepentingan politik sempit.

Satu kesan negatif lain ialah menarik rakyat kepada institusi raja ke arah feudalisme. Kedudukan raja berperlembagaan dijamin dan tidak mungkin terhakis selagi Malaysia masih wujud. Peranan raja sebagaimana yang digariskan dalam perlembagaan mesti diikuti dan jika timpul kepelbagaian tafsiran maka mahkamah harus memutuskannya. Mengheret raja melebihi bidang kuasa (ditambah dengan kelemahan yang sedia ada dalam institusi beraja di Malaysia) akan menjerumuskan Malaysia kepada struktur sosial neo-feudal (feudal baru). Juak-juak mungkin menjual nama raja untuk menlegitimasi tindakan mereka. Panglima-panglima baru ini dibimbangi akan beraja dimata dan bersultan dihati.

Hubungan yang terbaik antara institusi raja dengan rakyat perlu dijaga, namun ketelusan di pihak institusi raja juga perlu ada jika mereka mahu rakyat (orang melayu-Islam) terus berdoa khusus untuk mereka setiap hari jumaat. Institusi raja akan terus di junjung jika asas yang paling penting dihayati iaitu kepatuhan kepada nilai agama. Orang melayu boleh menerima raja mereka sungguhpun tidak kaya, ataupun kaya berbilion-belion; mereka juga boleh menerima raja walaupun darah keturunan rajanya telah dicairkan melalui perkawinan dengan orang kebanyakan; juga orang Melayu boleh menerima raja yang "separuh" Melayu, asalkan Islamnya kuat. .... akan bersambung...

Selasa, 3 Februari 2009

cuti-cuti buku



Cuti Tahun Baru China dan cuti semester memberi sedikit ruang untuk saya mensasarkan membaca cover to cover sebuah atau dua buah buku. Saya memilih sebuah novel Indonesia, Laskar Pelangi karya Andrea Hirata yang saya beli untuk bacaan keluarga hampir setahun lalu. Walaupun minat membaca novel hampir-hampir hilang dengan kesibukan dan buku serius yang sangat banyak sehingga tak terkejar, namun anak-anak dan isteri beria-ria menyuruh saya membacanya dan memberi remark positif. Mereka tahu saya mengemari genre biografi dan memoir dan kata mereka saya tentu suka novel ini.

Buku setebal 444 halaman ini mulanya saya jangka dapat dihabiskan dalam masa 2 hari tetapi saya mengambil masa hingga seminggu. Nampaknya saya sudah tidak secepat dulu lagi bila membaca . Mungkin juga buku ini tidak cukup kuat untuk mengikat saya- untuk terus membaca secara konsisten. Hanya di hujung-hujung buku ini baru ada wow factor-nya.

Ulasan tentang buku ini telah banyak sudah muncul terutama di dalam media Indonesia. Malah segmen video bicara/ngobrol/bedah buku muncul agak banyak dalam YouTube. Pendekatan memoir - pengkisahan secara berepisod memang menarik bagi saya. Ciri fiksyen dalam novel yang menyebabkan saya kurang membaca novel agak lama dan hal ini berubah lewat karya Andrea ini. Walaupun novel ni tokok tambah pengalaman hidup pengarangnya dengan cara menunjuk-nunjuk kehebatan pengetahuannya dari Salvador Dali sampai ke Enstien dan entah sapa-sapa lagi tetapi saya boleh menerimanya.

Khabarnya filem adaptasi dari novel ini sedang beredar di Indonesia. Tetapi saya tak berharap sangat ia sebaik novel. Memang sukar mengadaptasi novel ke filem. Saya sebut kepada pelajar saya dulu jika mereka membaca novel Ayat-Ayat Cinta dan gembira serta puas hati, maka cukup setakat itu- tak payah lah lihat filemnya. Ianya mengecewakan.

Buku kedua;
Ianya sebuah buku lama oleh Judith Nagata (1984) The Reflowering of Malaysian Islam. Sebuah kajian sosiologikal tentang kesan dakwah di Malaysia. Saya dah membaca beberapa bahagian buku ini sejak akhir tahun 1980 lagi. Namun kini saya tertarik dengan hujah-hujah Nagata terutama evolusi identiti Melayu. Kesan perkembangan politik sejak pilihanraya lepas hinggalah dalam pilihanraya kecil KT, tampak jelas identiti dan imej orang Melayu terus berevolusi dengan Islam menjadi tanda/ciri pengenalan yang semakin jelas dan didambakan. Namun hanya dua bab; bab pertama dan bab tujuh sempat saya hadamkan. Mungkin akan disambung balik jika ada peluang untuk cuti-cuti buku nanti.