Rabu, 27 Februari 2008

Beraya

Musim pilihanraya ini ramai orang yang beraya sakan. Saya akan mengundi di Dungun Terengganu. Selain dari menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, juga ingin menziarahi kawan-kawan dan tempat saya bermukim selama sepuluh tahun. Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain!
Dalam kesibukan menteri-menteri berkempen dan memastikan kemenangan besar nanti (masihkah mereka menteri selepas parlimen dibubarkan?) , Dato seri Utama Rais Yatim sempat meluangkan masa merasmikan pelancaran 3 buah buku, Dua daripadanya terbitan Arkib Negara tentang Pembangunan Malaysia 50 tahun, edisi coffee table dan sebuah lagi tentang Perlembagaan Malaysia oleh Tun Suffian. Saya membeli sebuah buku lain tentang Tun Suffian yang di tulis oleh Prof Salleh Buang dan Dr. Tunku Sofiah Jewa, manakala buku pembangunan Malaysia terbitan Arkib Negara diberi percuma sebagai door gift, harganya lebih RM200. Seperti biasa dapat buku baru seronok sampai ke malam. Buku terbitan Arkib berkenaan menarik kerana sarat dengan foto-foto klasik koleksi Arkib dan inilah kekuatan buku-buku berkenaan. Manakala buku tentang Tun Suffian (Suff) oleh anak murid/pengikutnya memberi insight baru kepada saya tentang Tun Suffian yang selama ini saya abaikan mungkin kerana perbezaan bidang dan padang.
Ketika perlancaran buku-buku ini saya bersetuju sepenuhnya dengan ucapan DSU Rais bahawa minat membaca kini semakin membimbangkan. Jika PNM menganggarkan purata seorang membaca 2 buah buku dalam setahun, DSU Rais skeptik berdasarkan pengalamannya di parlimennya ,Jelebu NS. Jika beliau bertanya kepada penduduk sana tentang buku apa yang dibaca tahun ini rata-rata jawapannya ialah soalan - "Buku apo?". Jika itu jawapannya macam mana nak cari 2 judul setahun.
Sepintas lalu beliau menyentuh, jika pilihanraya dan pembinaan tamadun (atau pembangunan) tidak berasaskan atau dipandu oleh buku kedua-duanya akan bergerak ke arah yang berbeza.
Tanpa tradisi ilmu gerak kerja manusia ialah mengkorupsikan makna kehidupan sebenar.

Selasa, 26 Februari 2008

Batu falsafah?

Komik dan animasi kini bukan lagi sekadar kemahiran grafik tetapi telah sarat dengan elemen-elemen falsafah. Kartun seperti Avatar dan Fullmetal Alchemist antara contoh yang jelas. Hujung minggu lepas saya "ter"ikut anak menonton kartun animasi ini. Dalam Avatar misalnya, falsafah Ying dan Yang diungkapkan dengan baik sekali, malah saya percaya ia boleh menjadi footage yang baik untuk mengajar falasaf dan tamadun China. Selang beberapa hari saya "ter..." lagi cerita Full Metal Alchemist . Saya terpaku bila mendengar dialog dalam filem animasi berkenaan tentang "batu falsafah". Saya mengamati animasi itu lebih serius dan yakin batu falasah itu merujuk kepada philosopher stone (PS) yang sangat popular di dunia alkimia Islam sehingga menyerap masuk dalam sains zaman pertengahan di Eropah. Terjemahan "batu falsafah" untuk philosopher stone sangat literal dan dangkal. Malah ia merosakkan ilmu alkimia yang pernah merajai sains China, Sains Yunani dan Sains Islam.
Minat masyarakat Eropah zaman pertengahan hingga kini tentang PS ialah kerana kononnya ia jisim yang dapat membantu proses transformasi logam rendah kepada logam tinggi, seperti tembaga kepada emas. Ia juga dikatakan mempunyai keupayaan memanjangkan hayat dan meremajakan sesiapa yang memilikinya. Berlumba-lumba ahli sains zaman pertengahan mencari PS ini. Malah Queen Victoria dari England dalam abad ke 16 (?) juga ditipu oleh ahli alchemist yang kononnya boleh menukarkan logam lain kepada emas.
Alkimia yang berkembang dalam tamadun Islam dikatakan berasal dari China dan saintis Islam yang selalu dinisbahkan dengan ilmu alkimia dan dikatakan menemui rahsia PS ialah Jabir Ibn Hayan. Perspektif Islam mengenai ilmu alkimia bukan sekadar menukar jirim kebanyakan kepada jirim berharga tetapi lebih jauh dari itu adalah satu perspektif bahawa jiwa atau roh manusia yang rendah dapat dijana dan ditransformasikan sehingga menjadi jiwa yang mulia dan tinggi. Atau bahasa yang lebih mudah, manusia yang jahat boleh menjadi baik jika ia melatih dan mendidik jiwanya supaya menjadi baik hatta seperti wali-wali. Kitab"Kimia al-Saadah" oleh al-Ghazali adalah tentang kimia kejiwaan ini.
Soalan yang tetap terdetik pada sesiapa sahaja ialah adakah PS ini?. Bagi saya mungkin ada! Tidak ada yang mustahil jika Allah inginkan ada hamba-hambanya yang memilikinya. Namun saya lebih mengemari alkimia seperti yang diajarkan oleh al-Ghazali.
Dan terjemahan yang lebih sesuai bagi PS ini ialah "Batu hikmah" ataupun "batu hayat"

Selasa, 19 Februari 2008

Mari membaca

Kecenderungan membaca semakin menipis dalam kalangan gernerasi baru. Selain dari permasalahan sikap lanjutan dari cara gaya pendidikan yang diterima, malas membaca diteguhkanlagi dengan budaya mengoogle dan melayari internet untuk fakta dan berita. Semua akan diserap tanpa tapisan. Munasabahlah setengah pihak melihat monopoli gergasi enjin pencarian dan ensaiklopedia online pada masa depan akan mendefinasikan ilmu, kebenaran dan fakta mengikut gaya dan selera mereka. Kebenaran nantinya bukan kerana nilai intrinsiknya tetapi kerana kuasa menjana maklumat dlam saiz giga.
Kepentingan mencari maklumat melalui internet tidak lah juga boleh diperkecilan. Ketika research tentang masjid baru-baru ini, saya ketemu info yang sangat berguna tentang pengurusan masjid di alaf baru ini yang diupload oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Maklumat ini tidak mungkin say aketemu dalam masa terdekat jika tidak melalui internet.
Pun begitu membaca buku tidak dapat menganti ilmu lewat internet baik dari segi kepuasan, kesan dan perasaan.
Hambatan dalam dunia moden ini menyukarkan proses pembacaan yang efektif dan ekstensif.
Beberapa kaedah untuk membaca cepat dan banyak selalu diceritakan orang. Beberpa petua yang dihamburkan nampaknya menjadi juga.
Kata mereka, antaranya jika kita dapat mendisiplinkan diri membaca selama setengah jam sehari, maknanya kita akan membaca 52 buah buku yang sederhana tebalnya dalam setahun. WOW.
Masa pagi ataupun lewat malam selalu menjadi pilihan ramai orang untuk melakukan pembacaan serius kerana kurang gangguan.
Untuk menyerap kesan maksima hasil pembacaan, konsentrasi penting dan boleh dicapai dengan menunjuk setiap baris teks yang dibaca.
Dua petua yang difatwakan ini tidak rugi jika diamalkan.

Jumaat, 1 Februari 2008

Untuk apa kita berkarya

Banyak cara untuk kita berkarya. Kini semakin ramai orang menghasilkan karya kreatif, travelog, pembikin filem indei. Malah ada pensyarah IPTA yang kerap betul membikin filem. Saya tertanya-tanya bagaimana mereka boleh membahagikan masa sebagai kakaitangan kerajaan/pensyarah dan dalam masa yang sama pengarah filem yang aktif. Paling tidakpun ramai berkarya melalui blog sendiri, menulis cita rasa dan buah pikir untuk di baca oleh orang lain.
Tetapi persoalan pokok yang perlu kita jawab secara sedar ialah untuk apa kita berkarya?.
Baik menulis cerpen, novel, membuat filem atau apa saja, bagi saya ianya mestilah bertujuan membina budaya dan tamadun. Atau perkataan yang selalu digunakan oleh sifu PTS karya kita mestilah dapat memandaikan bangsa.
Sayang amat jika karya-karya kreatif hanya melalut-lalut tanpa tujuan dan apatah lagi memperbodohkan bangsa (baca masyarakat!) seperti yang kita temui lewat filem-filem Melayu kini walaupun di arah oleh pensyarah Universiti yang selalunya digolongan sebagai orang pandai.