Rabu, 11 Februari 2009

Sentimen Perkauman dan feudalisme

Perkembangan politik di beberapa negeri di Malaysia nampaknya bergolak sakan. Sungguhpun isu ini isu politik tetapi saya tidak boleh memilih untuk diam. Ada dua kesan negatif yang saya lihat jika tidak ditangani dengan bijak akan memudaratkan struktur sosial yang sedia ada. Dua kesan negatif ini ialah berkembang biaknya sentimen perkauman dan melalutnya feudalisme.

Walaupun hubungan inter etnik di Malaysia bukanlah baik sangat tetapi agak stabil terutama selepas peristiwa 13 mei 69. Persepakatan politik baik melalui BN maupun PR menunjukkan rakyat Malysia pelbagai kaum telah boleh menerima prinsip perkongsian kuasa, sumber dan negara sesama warga. Integriti dan keadilan telah menjadi fokus dan kreteria penting dalam membuat dasar baik di pihak kerajaan maupun pembangkang. Sayangnya, perkembangan politik mutakhir menunjukkan elemen perkauman semakin dilayan dan media arus perdana semacam tidak prihatin untuk memperbaiki keadaan malah mensensasikannya lagi. Pilihanraya kecil seperti di KT menunjukkan pengundi menolak isu perkauman dan mungkin dalam pilihanraya di dua bukit nanti trennya akan berulang, kecualilah sentimen perkauman dimainkan untuk kepentingan politik sempit.

Satu kesan negatif lain ialah menarik rakyat kepada institusi raja ke arah feudalisme. Kedudukan raja berperlembagaan dijamin dan tidak mungkin terhakis selagi Malaysia masih wujud. Peranan raja sebagaimana yang digariskan dalam perlembagaan mesti diikuti dan jika timpul kepelbagaian tafsiran maka mahkamah harus memutuskannya. Mengheret raja melebihi bidang kuasa (ditambah dengan kelemahan yang sedia ada dalam institusi beraja di Malaysia) akan menjerumuskan Malaysia kepada struktur sosial neo-feudal (feudal baru). Juak-juak mungkin menjual nama raja untuk menlegitimasi tindakan mereka. Panglima-panglima baru ini dibimbangi akan beraja dimata dan bersultan dihati.

Hubungan yang terbaik antara institusi raja dengan rakyat perlu dijaga, namun ketelusan di pihak institusi raja juga perlu ada jika mereka mahu rakyat (orang melayu-Islam) terus berdoa khusus untuk mereka setiap hari jumaat. Institusi raja akan terus di junjung jika asas yang paling penting dihayati iaitu kepatuhan kepada nilai agama. Orang melayu boleh menerima raja mereka sungguhpun tidak kaya, ataupun kaya berbilion-belion; mereka juga boleh menerima raja walaupun darah keturunan rajanya telah dicairkan melalui perkawinan dengan orang kebanyakan; juga orang Melayu boleh menerima raja yang "separuh" Melayu, asalkan Islamnya kuat. .... akan bersambung...

Selasa, 3 Februari 2009

cuti-cuti buku



Cuti Tahun Baru China dan cuti semester memberi sedikit ruang untuk saya mensasarkan membaca cover to cover sebuah atau dua buah buku. Saya memilih sebuah novel Indonesia, Laskar Pelangi karya Andrea Hirata yang saya beli untuk bacaan keluarga hampir setahun lalu. Walaupun minat membaca novel hampir-hampir hilang dengan kesibukan dan buku serius yang sangat banyak sehingga tak terkejar, namun anak-anak dan isteri beria-ria menyuruh saya membacanya dan memberi remark positif. Mereka tahu saya mengemari genre biografi dan memoir dan kata mereka saya tentu suka novel ini.

Buku setebal 444 halaman ini mulanya saya jangka dapat dihabiskan dalam masa 2 hari tetapi saya mengambil masa hingga seminggu. Nampaknya saya sudah tidak secepat dulu lagi bila membaca . Mungkin juga buku ini tidak cukup kuat untuk mengikat saya- untuk terus membaca secara konsisten. Hanya di hujung-hujung buku ini baru ada wow factor-nya.

Ulasan tentang buku ini telah banyak sudah muncul terutama di dalam media Indonesia. Malah segmen video bicara/ngobrol/bedah buku muncul agak banyak dalam YouTube. Pendekatan memoir - pengkisahan secara berepisod memang menarik bagi saya. Ciri fiksyen dalam novel yang menyebabkan saya kurang membaca novel agak lama dan hal ini berubah lewat karya Andrea ini. Walaupun novel ni tokok tambah pengalaman hidup pengarangnya dengan cara menunjuk-nunjuk kehebatan pengetahuannya dari Salvador Dali sampai ke Enstien dan entah sapa-sapa lagi tetapi saya boleh menerimanya.

Khabarnya filem adaptasi dari novel ini sedang beredar di Indonesia. Tetapi saya tak berharap sangat ia sebaik novel. Memang sukar mengadaptasi novel ke filem. Saya sebut kepada pelajar saya dulu jika mereka membaca novel Ayat-Ayat Cinta dan gembira serta puas hati, maka cukup setakat itu- tak payah lah lihat filemnya. Ianya mengecewakan.

Buku kedua;
Ianya sebuah buku lama oleh Judith Nagata (1984) The Reflowering of Malaysian Islam. Sebuah kajian sosiologikal tentang kesan dakwah di Malaysia. Saya dah membaca beberapa bahagian buku ini sejak akhir tahun 1980 lagi. Namun kini saya tertarik dengan hujah-hujah Nagata terutama evolusi identiti Melayu. Kesan perkembangan politik sejak pilihanraya lepas hinggalah dalam pilihanraya kecil KT, tampak jelas identiti dan imej orang Melayu terus berevolusi dengan Islam menjadi tanda/ciri pengenalan yang semakin jelas dan didambakan. Namun hanya dua bab; bab pertama dan bab tujuh sempat saya hadamkan. Mungkin akan disambung balik jika ada peluang untuk cuti-cuti buku nanti.