Selasa, 27 Oktober 2009

Teknologi Melayu

Teknologi orang melayu
... lanjutan daripada post yang terdahulu tentang pisau vs keris

Baik keris maupun pisau kedua-duanya adalah sebahagian daripada teknologi orang Melayu. Lebih hebat lagi ia juga adalah hasil seni. Mungkin teknologi moden menekankan aspek agronomi lebih banyak berbanding seni.

Pendekatan sejarah yang dibawa oleh aliran Braudel sangat menarik minat saya kerana ia tidak mengenepikan sejarah teknologi walaupun dalam takrif semasa ia lebih kerap dipanggip kraf. Pendekatan sejarah aliran Annales seperti F. Braudel dan diikuti oleh muridnya seperti K.N. Chaudhuri boleh digunakan dalam konteks mengkaji sejarah kebudayaan di Malaysia. Mengikut mereka kewujudan sesuatu fenomena budaya adalah kerana adanya sejarah dan tradisi yang panjang dan dijelmakan dalam semua spektrum kehidupan secara sedar maupun tidak. Penulisan sejarah aliran Annales ini memang banyak memberi sumbangan dalam mengkaji sejarah teknologi sesuatu masyarakat. Dalam penulisan karya mereka muncul satu pendekatan baru yang dinamakan “total history” yang mula digunakan oleh F. Braudel pada tahun 70-an dalam karyanya tentang peradaban Mediteranean.

Pendekatan ini disambut oleh sejarawan Asia Tenggara seperti Anthony Reid dengan terbitnya buku Southeast Asia in the age of commerce 1450-1680 (1988) dan juga oleh murid Braudel sendiri, K.N. Chaudhuri dengan bukunya Trade and civilisation in the Indian Ocean (1985). Karya Reid dan Chaudhuri ini agak berbeza daripada karya sejarah lain kerana yang menjadi perhatian mereka ialah aspek-aspek budaya material, kehidupan sosial, demografi, pemakanan dan lain-lain sedangkan sejarah politik dan diplomasi hanya disentuh sepintas lalu sahaja.

Sejarah Pisau


Gambar di atas adalah sebilah pisau menyembelih 12 inci yang agak istimewa terutama dari segi proses membuatnya di mana saya terlibat secara langsung dan mengambil masa lebih sebulan untuk disiapkan.
1.Matanya diperbuat daripada besi jenama Braco buatan German yang digunakan dalam peralatan mengerudi minyak di Laut China Selatan. Besinya sangat keras. Tukang besi (orang Kemboja)di Dungun Terengganu yang menempa mata pisau ini mengambil masa hampir 1 jam untuk membakar dan mengetuknya untuk membentuk mata pisau. Saya menunggu dia menempa mata pisau ini takut dia tukarkan dengan besi lain selain daripada memberi panduan bentuk pisau yang saya mahukan. Mata ini tidak disepuh langsung dan hanya dicanai sedikit dengan mesin untuk membentuk mata yang hampir tajam.
2. Mata pisau yang telah disiapkan kemudiannya di sepuh dalam air tanah liat oleh seorang tukang pisau Melayu.Saya minta khusus disepuh dengan air tanah liat dan bukan minyak ataupun air biasa seperti yang dilakukan oleh tukang kemboja. Matanya kemudian di asah daripada pukul 9 pagi hinggalah pukul dua tengahari. Batu asah cap Red Indian buatan Brazil hampir suku hausnya kerana asahan ini.
3.Tukang pisau yang sama juga membuat sarung dan hulu pisau ini. Kayu yang digunakan ialah kayu boi atau dipanggil juga kayu arang. Mulanya saya ingin menggunakan kayu kemuning tetapi setelah mencari dan memesan dari beberapa tempat di Terengganu hasilnya kayu yang terbaik itu tiada yang sesuai. Kayu yang ada terlalu muda dan tidak sesuai untuk membuat sarung pisau.
4. Proses membuat sarung ini mengambil masa hampir seminggu dan upah yang dikenakan oleh tukangnya, seorang pemuda di Dungun, ialah dengan kiraan 1 inci RM10.
5.Hingga kini pisau ini telah digunakan untuk menyembil lebih 10 ekor lembu. Walaupun ketajamanan tidak sehebat pisau sembelihan dari German atau Jepun kerana saiznya yang tebal, tetapi ia sangat lasak.