Selasa, 4 Ogos 2009

Keris vs Pisau

Saya sudah lama ingin menulis tentang simbolisme keris dan pisau ini iaitu pertentangan antara sektor feudal (dilambangkan oleh keris) dengan sektor rakyat (yang dilambangkan oleh pisau). Saya menangguhkannya agak lama kerana saya ingin menulis satu esei ilmiah tentang hal ini. Saya mempunyai perspektif yang agak berbeza daripada Dr Farish Noor yang pernah menulis tentang keris dan nilai simbolismenya lewat artikel beliau beberapa tahun dahulu.

Namun saya mahu mengambil ruang ini untuk membawa isu keris vs pisau ini kerana saya rasa sampai masanya saya memperbetulkan salah tafsir tentang simbol keris dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Antaranya, dalam mereka bentuk kulit buku jika ada isu tentang Melayu maka antara grafik atau gambar yang akan muncul ialah keris, terutama keris yang tidak disarungkan.Persatuan-persatuan dan institusi Melayu juga tidak lekang dari mengasosiasikan diri mereka dengan keris. Ini boleh dilihak dalam logo PEKEMBAR (teka apa nama barunya?), logo di salah sebuah syarikat teksi di Shah Alam malah logo UiTM sendiri ada keris tak bersarung yang bersilang. Keris semacam telah disinonimkan dengan orang Melayu. Benarkah hal ini?.

I
Dalam masyarakat Melayu tradisional pra moden berdasarkan pengalaman saya (tahun-tahun 60-an), keris hanyalah sebagai alat kebesaran, pakaian ataupun aksesori bagi golongan bangsawan sahaja. Rakyat kebanyakan jarang-jarang menyimpan apatah lagi menggunakan keris. Jika adapun keris menjadi satu peralatan dalam perubatan Melayu kerana dianggap mempunyai kuasa magis. Membaca asal usul keris dan hal-hal seputar keris terutama yang ditulis oleh sarjana kolonial Barat membuat saya agak skeptik dengan kedudukan keris dalam masyarakat kebanyakan. Walaupun jurnal JMBRAS tentang keris tulisan A.H. Hill, Wooley dan lain-lain mungkin bersifat etnosentrik namun masih ada kebenaran tentang keris yang mana nilai dan fungsinya telah dilebih-lebihkan hinggalah sekarang.

II
Kepada rakyat kebanyakan hatta hingga sekarang pisau lebih akrab dengan mereka. Jika ada sesuatu majlis kenduri, kecil atau besar yang melibatkan binatang seperti lembu atau kambing dibantai, maka kita akan melihat dengan jelas keakraban pisau dalam masyarakat Melayu. Dalam kerja-kerja kenduri, kaum lelaki akan mengambil tanggungjawab menyembelih, melapah dan menyiang daging. Mereka akan datang dengan membawa pisau-pisau yang cantik berukir tetapi masih mempunyai nilai gunaan. Sebelum kerja dilakukan, pengisian awalnya ialah tayang menayang, bertukar-tukar lihat melihat dan rasa merasa pisau-pisau yang dibawa. Satu keaiban kepada orang lelaki yang datang ke majlis seperti ini tidak membawa bersamanya pisau. Jika ada yang datang tangan kosong akan adalah gelar-mengelar seperti, datang bawa batu pengasah saja ke! (batu dalam konteks ini merujuk kepada yang itu!). Jika pisau yang di bawa cepat tumpulnya asyik perlu diasah atau dikesat lemak yang melekat dengan sabut, kayu pulai atau lain-lain, juga akan dipandang lekeh. Memiliki pisau yang cantik dengan ketajaman yang berterusan adalah ciri yang didambakan oleh lelaki dewasa yang tahu bermasyarakat dalam masyarakat tradisional Melayu ini.